PUTRAJAYA- Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini atas 80 pertuduhan merogol anak teman wanitanya yang juga gadis bawah umur sejak dua tahun lalu. Berdasarkan pertuduhan pertama hingga 80, warga Sri Lanka berusia 37 tahun itu didakwa merogol mangsa dengan atau tanpa kerelaannya di sebuah rumah di Puchong, Selangor. Dia didakwa mula melakukan perbuatan itu ketika mangsa berumur 13 tahun 10 bulan, pada 9 Januari 2018 hingga 5 November lalu. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama mengikut Seksyen 16(1) Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. Timbalan Pendakwa Raya, Norazlina Razali tidak mencadangkan sebarang ikat jamin kerana tertuduh sedang menghadapi kes kesalahan di bawah Akta Imigresen di Mahkamah Petaling Jaya. "Selain itu, tertuduh mempunyai risiko untuk melarikan diri malah ibu mangsa cuba mengeluarkan tertuduh ke negara asal berdasarkan tarikh tiket penerbangan pada 25 Disember 2019, setelah mengetahui perbuatan itu. "Bagaimanapun dia ditangkap lapan hari sebelum berlepas," katanya. Menurut Norazlina, selain itu tertuduh juga mempunyai akses yang luas untuk mendekati mangsa kerana mereka tinggal serumah. "Tertuduh dipercayai mula melakukan cabul terhadap mangsa pada tahun 2010 dan merogol mangsa dua tahun kemudian. "Kejadian berlaku ketika wanita itu keluar bekerja dan meletakkan mangsa serta adiknya di bawah jagaan lelaki tersebut," katanya. Sementara itu peguam tertuduh itu, Muhammad Syazwan Mohd Hasan memaklumkan pasport anak guamnya sedang dalam proses pengesahan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. Hakim Yong Zarida Sazali tidak membenarkan jaminan dan menetapkan sebutan kes pada 13 Februari depan.