[VIDEO] Penduduk terpaksa jimat air

A
A
A

SELAYANG - Penduduk Taman Prima Selayang mula mengalami gangguan bekalan air berjadual pada Khamis.

Tinjauan Sinar Harian mendapati gangguan bekalan air dilaporkan berlaku sekitar jam 6 pagi selepas simpanan air tangki habis.

Bagaimanapun rata-rata penduduk ditemui memaklumkan telah membuat persediaan awal menyimpan air ekoran gangguan air berjadual bagi kerja penyelenggaraan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) bermula Rabu.

Seorang penduduk, S Kaliammah, 44, ditemui memaklumkan, simpanan air yang dibuat cukup menampung kegunaan kecemasan sementara menunggu bekalan air pulih.

Simpanan air di rumah Hardip. (Gambar kecil: Hardip, Kaliammah)
Simpanan air di rumah Hardip. (Gambar kecil: Hardip, Kaliammah)

"Semalam ada air jadi ingatkan tak terlibat gangguan air tapi pagi ini masa mahu buat sarapan baru perasan air dah tak ada.

"Nasib baik air yang ditadah tidak dibuang awal, air tersebut digunakan untuk kegunaan kecemasan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Seorang lagi penduduk, Hardip Kaur, 55, berkata, dia perlu berjimat cermat gunakan air untuk pastikan bekalan mencukupi sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Hardip menunjukkan simpanan air untuk kegunaan kecemasan.
Hardip menunjukkan simpanan air untuk kegunaan kecemasan.

"Saya dah buat persediaan awal dengan menyimpan air pada tong dan baldi serta bekas-bekas kecil sejak beberapa hari lalu.

"Bekalan ini cukup hingga petang untuk memasak dan keperluan penting, harap bekalan dapat pulih segera dan tidak berlarutan sampai Jumaat," katanya.

Seorang lagi penduduk, Sulaiman Din, 60, berkata, bekalan air yang terputus tidak menghalang cucu-cucunya untuk ke sekolah seperti biasa.

"Awal pagi air dah mula mengecil jadi dengan air yang ada itu digunakan untuk bersiap ke sekolah, terpaksa mandi koboi.

"Sementara air yang ditadah digunakan untuk kecemasan. Harap cukup sampai bekalan air sehingga petang, " katanya.

Air Selangor menerusi kemas kini setakat jam 12 tengah hari memaklumkan status pemulihan air di kawasan terlibat mencapai 27.1 peratus.

Bagi Kumpulan 1, bekalan air di kawasan yang terjejas telah pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari, Khamis.

Seterusnya bagi Kumpulan 2, pemulihan penuh dijangka pada jam 3 pagi, Jumaat manakala bagi Kumpulan 3, pemulihan penuh dijangka pada jam 12 tengah hari, Jumaat.

Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Sementara tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi lain antaranya Taman Samudera dan, Pinggiran Batu Caves serta Taman Sri Murni Selayang mendapati perumahan itu telah menerima bekalan air awal pagi Khamis selepas terlibat gangguan bekalan pada Rabu.

Air Selangor sebelum ini memaklumkan melaksanakan kerja penyelenggaraan aset di LRA SSP 1 pada Rabu menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!