Empat konsesi lebuh raya bergabung sumbang bantuan

Empat konsesi lebuh raya bergabung memberi sumbangan kepada penghuni Rumah Sejahtera di Jenjarom di sini.
Empat konsesi lebuh raya bergabung memberi sumbangan kepada penghuni Rumah Sejahtera di Jenjarom di sini.
A
A
A

KUALA LANGAT - Empat konsesi lebuh raya bergabung memberi sumbangan hampir RM30,000 bagi memberi kegembiraan kepada warga emas di Rumah Sejahtera Jenjarom di sini, menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak), Sazally Saidi berkata, konsesi lebuh raya itu termasuk Litrak, Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Sprint) dan Terowong Smart (Smart).

Menurutnya, sumbangan diberi bagi membiayai kos pembaikan tandas rumah berkenaan, pembelian perabot, barangan elektrik, katil, tilam dan makanan asas.

“Program amal komuniti ini sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan setiap tahun menjelang sambutan perayaan.

“Bagi perayaan Tahun Baru Cina kali ini, kami memilih Rumah Sejahtera yang menempatkan 17 warga emas berumur 60 hingga 93 tahun. Lokasi ini dipilih memandangkan keadaannya yang daif selepas beroperasi sejak 62 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan wang tunai dan barangan di rumah kebajikan itu hari ini.

Hadir sama dalam program itu Ketua Pegawai Operasi Kesas, Mohammed Shah Samin dan pemangku Ketua Pegawai Operasi Smart, Mohd Noor Mohd Ali.

Dalam pada itu, Sazally berkata, selain pembelian barangan untuk kegunaan penghuninya, pihaknya juga membantu menjalankan kerja-kerja pembersihan dan menghias kawasan rumah berkenaan bagi menyemarakkan lagi sambutan perayaan.

Artikel Berkaitan:

“Kami harap dengan sumbangan ini dapat sedikit sebanyak menaikkan semangat penghuni sekali gus memberi kehidupan lebih selesa bagi mereka meneruskan kehidupan.

“Apa yang penting, kami tidak mahu mereka ini rasa tersisih lebih-lebih lagi ketika menyambut perayaan,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Rumah Sejahtera, Tia Chin How berkata, pihaknya gembira dengan sumbangan diterima daripada empat konsesi berkenaan.

“Terima kasih berkongsi kegembiraan dengan penghuni warga emas di sini bagi menyambut Tahun Baru Cina,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!