Sasar 8 juta pelancong sempena Tahun Melawat Selangor

Suee Lim (depan, dua dari kiri) bergambar pada Program CSR ISP Group di Villa Chee Sekinchan di sini pada Khamis.
Suee Lim (depan, dua dari kiri) bergambar pada Program CSR ISP Group di Villa Chee Sekinchan di sini pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kerajaan Selangor menyasarkan seramai lapan juta pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, sasaran itu dijangka dapat dicapai jika dilihat aliran dan trend peningkatan pelancong ke Selangor sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Menurut beliau, pada tahun lalu, seramai 6.5 juta pelancong telah singgah di Selangor dan jumlah itu melebihi daripada sasarannya iaitu lima juta pelancong.

"Pada tahun lalu, kita telah melebihi sasaran dan untuk tahun ini, kita jangka seramai tujuh juta pelancong mengunjungi tempat menarik di sekitar negeri ini," katanya ketika ditemui pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ISP Group di Villa Chee Sekinchan, di sini pada Khamis.

Dalam program itu, seramai 30 penduduk kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan menerima sumbangan barangan keperluan.

Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan berkata, kejayaan itu menunjukkan peningkatan positif dalam industri pelancongan yang terus berkembang di negeri Selangor.

Beliau memberitahu, pelancong kini tidak berasa bimbang berikutan kestabilan politik yang kukuh di negeri ini di samping tiada lagi penularan wabak Covid-19.

Selain itu, katanya, hubungan baik antara Malaysia dengan China misalnya mengukuhkan lagi industri pelancongan di negara ini khususnya di Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin keputusan diambil kedua-dua negara (Malaysia dan China) yang bersetuju melanjutkan tempoh pengecualian visa untuk pelancong daripada 15 ke 30 hari menjadikan industri ini terus berkembang," tambah beliau.

Suee Lim menjelaskan, pelbagai destinasi menarik di Selangor menjanjikan tarikan kepada pelancong terutama di kawasan agro pelancongan di Anjung Utara dan Anjung Selatan.

"Antara lokasi yang menjadi tumpuan di Utara Selangor termasuklah di Bukit Melawati, Sky Mirror, Eagle feeding Kuala Selangor, kawasan sawah padi, Pantai Redang di Sekinchan hingga ke Kelip-Kelip di Sungai Panjang.

"Begitu juga di Anjung Selatan contohnya di Avani Sepang Goldcoast Resort, Pantai Morib dan Dragon Fruit Farm selain beberapa taman tema air antaranya di Sunway Lagoon dan Splash Mania serta keindahan rumah ibadah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam," katanya.

Selain itu, menurut Suee Lim, beberapa kawasan di daerah Hulu Selangor juga menjadi tumpuan pelancong antaranya Paragliding Kuala Kubu Bharu, water rafting dan kawasan rimba pastinya memberi tarikan pelancong," jelas beliau.

Katanya, kerajaan negeri memberi tumpuan untuk menarik kedatangan pelancong dari enam negara ke Selangor pada Tahun Melawat Selangor 2025.

"Tumpuan kita ialah menarik pelancong dari Singapura, China, Indonesia, India, Vietnam dan negara Timur Tengah.

"Saya yakin dengan promosi berterusan dan kerjasama dari Tourism Selangor dan Tourism Malaysia di samping saya sendiri mengadakan kempen di negara seperti China dan Taiwan termasuk akan datang ke Surabaya, Indonesia kita yakin sasaran ini boleh capai," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!