Anwar gesa penglibatan diplomatik lebih agresif selesai ketegangan di Laut China Selatan

Anwar (kiri) ketika sesi soal jawab pada Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-37 di sini pada Khamis. Foto Bernama
Anwar (kiri) ketika sesi soal jawab pada Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-37 di sini pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis menggesa penglibatan diplomatik yang agresif bagi menyelesaikan ketegangan berhubung kawasan perairan wilayah antara China dan Filipina di Laut China Selatan.

Beliau berkata, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr telah berhubung dengannya mengenai perkara itu, dan Malaysia pula akan meneruskan penglibatan aktifnya dalam kerangka kerja ASEAN.

"Pada peringkat ini saya akan mengatakan bahawa saya memahami kebimbangan Bongbong Marcos dalam banyak perbincangan antara saya dengannya.

"Apabila dia minta pandangan saya, saya katakan pandangan peribadi saya ialah kita (Malaysia) mengambil cara yang lebih agresif untuk melibatkan diri secara diplomatik dan kita agak berjaya dalam perkara itu.

"Ini kerana ada beberapa isu yang sangat serius juga dengan Malaysia, tetapi kami secara relatifnya lebih berjaya dalam hal itu kerana kami dianggap dan kelihatan benar-benar neutral dalam perbincangan itu," katanya pada persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-37 (APR) disini pada Khamis.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan daripada seorang perwakilan dari Filipina mengenai pendekatan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi menangani kebimbangan Filipina di Laut China Selatan.

Anwar seterusnya mengulangi pendiriannya bahawa isu itu perlu diselesaikan dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dan China, tanpa campur tangan pihak luar.

“Seharusnya tiada pembabitan dengan pihak-pihak lain kerana ia hanya akan menjadikan perkara itu bertambah kompleks dan merumitkan lagi keadaan,” katanya.

Menurut laporan media Presiden Filipina yang juga dikenali sebagai Bongbong Marcos baru-baru ini memberi amaran kepada China supaya tidak melintasi garis merah di Laut China Selatan, dan perselisihan faham antara kedua-dua negara terus meningkat.

Artikel Berkaitan:

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pertikaian lama antara China dan Filipina mengenai wilayah di Laut China Selatan itu semakin bertambah memuncak. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!