Ancaman bom palsu: Polis selesai rakam percakapan Menteri MOTAC
PUTRAJAYA - Polis telah merakam keterangan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing bagi membantu siasatan berkaitan ancaman bom palsu, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya akan memanggil beberapa saksi lagi untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
"Kita sudah selesai merakam percakapan menteri (King Sing), namun kita akan memanggil beberapa saksi lagi bagi membantu siasatan," katanya ringkas ketika dihubungi pada Khamis.
Pada Rabu, media melaporkan polis mengesahkan bungkusan yang dialamatkan kepada menteri berkenaan adalah sebagai ancaman bom palsu.
A Asmadi dilaporkan berkata, ia selepas Unit Pemusnah Bom menjalankan pemeriksaan menggunakan dua ekor anjing pengesan dan teknologi untuk mengesahkan perkara tersebut.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, bungkusan berisi bahan letupan menyerupai bom itu dihantar menerusi syarikat kurier pada jam 11.19 pagi Rabu.
Bungkusan tersebut diambil dan dibawa naik ke tingkat 14 pada jam 2.45 petang dan apabila dibuka didapati ia diletakkan bersama paip polyvinyl chloride (PVC), wayar dan 'timer'.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Letupan dan Bahan Api 1957.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!