Pembangkang DUN Kelantan kecewa
KOTA BHARU - Dua wakil rakyat pembangkang kecewa apabila Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selama tiga hari hanya diadakan separuh hari sahaja.
Ketua Pembangkang DUN Kelantan, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, waktu itu membataskan ruang untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertanya soalan kepada kerajaan negeri.
Menurut beliau, soalan tambahan sangat bermakna kerana pembangkang bertindak sebagai penyemak dan imbang antara rakyat dan kerajaan negeri.
"Ada juga beberapa jawapan yang tidak relevan dengan isu semasa dan bagi saya ini menunjukkan Exco tidak melakukan 'homework'," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Persidangan Bagi Tempoh Penggal Kedua DUN Kelantan di Kota Darulnaim pada Khamis.
Mohd Syahbuddin yang juga ADUN Galas berharap kerajaan negeri akan melakukan penambahbaikan dalam persidangan DUN Kelantan pada masa akan datang.
"Mereka perlu serius dengan setiap jawapan yang diberikan," katanya.
Sementara itu, ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim juga tidak berpuas hati kerana soalan bertulis mereka tidak banyak dikemukakan untuk jawapan kerajaan negeri.
Jelas beliau banyak isu yang dikemukakan untuk kepentingan rakyat pada sidang berkenaan.
"Kita kecewa kerana banyak soalan yang tidak mendapat jawapan terutama berkaitan masalah rakyat," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!