Sekolah perlu sedia peluang kepada murid mohon DLP
PUTRAJAYA - Mana-mana sekolah yang melaksanakan Program Dwi Bahasa (DLP) perlu memastikan peluang turut disediakan kepada murid yang memohon untuk mengikuti mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Kebangsaan atau bahasa ibunda masing-masing.
Tegas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pihak sekolah juga hendaklah memastikan terdapat sekurang-kurangnya satu kelas di setiap tahun atau tingkatan yang melaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) menggunakan bahasa Kebangsaan atau bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 5 Tahun 2024: Garis Panduan DLP yang bertarikh 19 Mac lalu.
"Bagi menangani isu bantahan pengendalian program DLP yang dibuat oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di beberapa buah sekolah di Pulau Pinang, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang telah mengambil langkah proaktif dengan memulakan sesi libat urus dengan semua pihak terlibat," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Ujar beliau, DLP adalah program di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang memberi pilihan kepada sekolah untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam PdP mata pelajaran Sains dan Matematik.
"Ia bertujuan untuk membantu murid meningkatkan penguasaan berbahasa Inggeris dengan memberikan pendedahan masa yang lebih melalui pengajaran dan pembelajaran (PdP) mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah," jelasnya.
Tambah Fadhlina, kementerian komited untuk menyelesaikan isu yang berbangkit bagi memastikan program DLP dapat dilaksanakan dengan baik berdasar kepada garis panduan yang ditetapkan dan mencapai objektifnya.
Sebelum ini wakil sekolah vernakular di negeri itu menggesa KPM menghapuskan arahan ketat yang didakwa memberi kesan kepada pelaksanaan DLP.
Mereka mendakwa arahan terbaharu menerusi surat pekeliling itu tidak boleh dilaksanakan kerana tiada pelajar yang berminat untuk mengambil dua mata pelajaran tersebut dalam Bahasa Melayu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!