Kerajaan semak semula dasar berkaitan OGSE supaya lebih mampan - Rafizi
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menyemak semula dasar berkaitan industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) supaya sektor berkenaan lebih mampan, tangkas dan mencapah, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, ia berikutan trajektori global industri OGSE adalah jauh lebih positif pada masa ini berbanding enam tahun lepas.
"Saya berpandangan itulah realisasi di dunia, bukan sahaja di Malaysia, bahawa kita sedang menyaksikan pengurangan secara beransur-ansur dan bukannya menghentikan bahan api fosil dengan mendadak.
"Oleh yang demikian, minyak mentah dan gas juga akan mengalami keadaan itu,” katanya selepas majlis pelancaran Banci OGSE 2024 di sini pada Khamis.
Rafizi berkata, isyarat daripada kerajaan turut penting supaya sektor kewangan dapat menyesuaikan semula dengan realiti baharu industri.
"Kementerian sedang mengusahakan inisiatif khusus untuk industri memandangkan susulan profil risiko, ia perlu diselesaikan dengan sedikit berbeza.
"Perbincangan mengenai pemberian kredit dan kredit swasta kepada syarikat minyak dan gas (O&G) yang layak adalah berterusan," katanya.
Rafizi berkata, minat terhadap syarikat O&G akan kembali dan semakin baik secara perlahan-lahan.
Sehubungan itu katanya, penyesuaian dasar daripada kerajaan perlu dilaksanakan supaya pembiayaan tidak akan lagi menjadi agak mencabar.
Menurutnya, industri O&G di Malaysia telah bertukar secara drastik dalam tempoh 15 tahun lepas dengan keluaran minyak negara telah menurun daripada paras kemuncaknya sebanyak 650,000 tong sehari kepada 370,000 tong sehari.
"Begitu juga dengan industri gas. Permintaan gas asli semakin naik setiap tahun dan pada masa sama keluaran dalam negara tidak lagi mampu untuk menampung permintaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Banci OGSE 2024 akan membantu pembangunan sektor OGSE yang lebih kukuh, berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat global dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Banci OGSE dilaksanakan mulai Jun hingga September 2024 yang diadakan buat julung kalinya oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kerjasama Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) dan Petronas, katanya.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, gerak kerja pelaksanaan Banci OGSE 2024 akan melalui dua fasa pengumpulan data, dan operasi di lapangan bermula 6 Jun hingga September 2024.
Fasa kedua adalah tempoh pemprosesan data yang akan berakhir pada Oktober 2024 dengan penglibatan 3,582 pertubuhan di Malaysia, katanya.
"Pertubuhan yang terlibat dengan industri OGSE ini akan dihubungi oleh pejabat DOSM negeri yang berhampiran, yang berada di seluruh negara,” katanya.
Menurutnya empat objektif yang telah disasarkan bagi pelaksanaan banci ini adalah pertama: mengukur prestasi OGSE daripada aspek Keluaran Dalam Negara Kasar, guna tenaga dan eksport; kedua, menjadi penanda aras baharu bagi statistik OGSE Malaysia meliputi statistik output, input, nilai ditambah, pekerja, gaji dan upah, ICT serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana di peringkat nasional dan negeri.
"Ketiga, menilai pencapaian dasar atau program negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 dan seterusnya meningkatkan kapasiti statistik negara melalui pengemaskinian Malaysia Statistical Business Register (MSBR) serta memperkasa pangkalan data ekonomi Malaysia,” katanya.
Rafizi berkata, pelaksanaan Banci OGSE bagi 2024 akan menunjukkan keberhasilan yang
signifikan, dengan hasilnya dapat digunakan untuk merancang program pembangunan terhadap industri OGSE Malaysia. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!