Sensasi Jun Hao di Indonesia

Jun Hao akan menentang pemain China dalam aksi suku akhir Terbuka Indonesia di Jakarta pada Jumaat. Foto Agensi
Jun Hao akan menentang pemain China dalam aksi suku akhir Terbuka Indonesia di Jakarta pada Jumaat. Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao terus melakar sensasi dalam saingan Badminton Terbuka Indonesia apabila tanpa belas ihsan menghantar pulang dua pemain di ranking yang lebih tinggi.

Status pemain ke-32 dunia bukan ukuran buat Jun Hao untuk menjadikan wakil Taiwan, Chou Tien Chen yang menghuni ranking ke-11 sebagai mangsa kedua dalam kejohanan berstatus Super 1000 itu.

Biarpun diheret sehingga ke set penentuan dalam aksi pusingan kedua tersebut, Jun Hao mempamerkan aksi bertenaga untuk menang 21-18, 13-21, 21-17 di Istora Senayan, Jakarta itu.

Pemain dari Kuala Lumpur itu pada Rabu mengejutkan wakil tuan rumah di ranking ketiga dunia, Jonatan Christie 21-13, 16-21, 21-12 dalam tempoh satu jam dua minit.

"Saya gembira selepas kemenangan ini. Dia seorang lawan yang sukar dan mempunyai pengalaman luas," ujar Jun Hao.

Alang-alang menyeluk pekasam, Jun Hao yang berada berada dalam prestasi terbaik berpeluang untuk melakar kejutan lagi apabila bakal membuat perhitungan dengan pilihan keenam yang juga pemain ranking keempat dunia dari China, Li Shi Feng dalam saingan suku akhir pada Jumaat.

"Saya fikir ia berkaitan dengan gaya permainan (prestasi meningkat) dan keyakinan. Jadi saya hanya perlu kekalkan rentak ini dan bersedia untuk aksi seterusnya," katanya.

Jun Hao pada Terbuka Singapura minggu lalu mengejutkan pemain ranking kesembilan dunia dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, 21-14, 21-10, 21-8 pada pusingan kedua.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!