Pengarah agensi kerajaan direman kes minta, terima rasuah ratusan ribu ringgit

Seorang pengarah jabatan di sebuah agensi kerajaan (tengah) direman dua hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah ratusan ribu ringgit. Foto Bernama
Seorang pengarah jabatan di sebuah agensi kerajaan (tengah) direman dua hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah ratusan ribu ringgit. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pengarah jabatan di sebuah agensi kerajaan direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah ratusan ribu ringgit.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 58 tahun itu dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid di Mahkamah Majistret di sini.

Terdahulu lelaki berkenaan yang memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga dan berseluar biru gelap tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.20 pagi dengan menaiki van suruhanjaya itu.

Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan dan reman itu.

"Lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.

Semalam media melaporkan pengarah terbabit disyaki meminta wang suapan sebagai imbuhan bagi meluluskan kerja-kerja kontrak kepada pelanggan jabatan.

Pengarah itu ditahan petang semalam di pejabat SPRM Kelantan selepas memberi keterangan kes itu.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!