'Rusia tak rancang pun serang negara NATO'
SAINT PETERSBURG - "Moscow tidak mengimpikan cita-cita meluaskan empayar dan tiada rancangan mahu menyerang negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO)."
Kenyataan tegas itu dibuat Presiden Rusia, Vladimir Putin ketika mesyuarat jarang berlaku bersama rangkaian media asing di ibu kota pada Rabu.
“Tidak perlu buang masa buat spekulasi sedemikian. Usah reka imej Moscow sebagai musuh. Ia hanya akan membahayakan anda,” katanya ketika disoal tentang tujuan bendera Kesatuan Soviet dan Rusia yang dikibarkan di ibu pejabat gergasi teknologi Gazprom di mana lokasi pertemuan itu berlangsung.
Putin turut menyelar dakwaan sesetengah pihak yang percaya Rusia akan melancarkan serangan ke atas negara perikatan ketenteraan diketuai Amerika Syarikat (AS) tersebut.
“Siapa yang sengaja mengadakan-adakan cerita ini? Ia sememangnya idea tak masuk akal dan mengarut,” tegasnya lagi.
Dalam masa sama, Putin mengkritik Barat kerana menghantar senjata jarak jauh kepada Ukraine setelah ia memberikan lampu hijau untuk membedil sasaran di Moscow.
“Kami juga akan mengambil langkah sama dengan membekalkan senjata kelas serupa kepada negara tertentu dan menyasarkan kemudahan sensitif Barat jika ada pihak berpendapat bekalan senjata sedemikian ke zon perang bertujuan untuk mencetuskan masalah kepada Kremlin.
“Ia adalah tindak balas tak simetri, Kami tidak teragak-agak untuk memberi respons serupa,” katanya.
Pemimpin yang menerajui Rusia sejak lebih dua dekad lalu itu juga memberi amaran keras bahawa penghantaran bekalan senjata kepada Kiev adalah satu langkah negatif kerana negara berkenaan yang sebenarnya mengawal senjata tersebut.
Baru-baru ini, Presiden AS, Joe Biden memberi lampu hijau kepada Ukraine untuk menggunakan senjata dibekalkan Washington bagi membedil sasaran berhampiran wilayah Kharkiv.
Perang Rusia-Ukraine yang berlarutan lebih dua tahun kini semakin sengit selepas Moscow mara ke Kharkiv selain kempen berbalas serangan dron dan misil yang terus diperhebatkan. - AFP
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!