Trio berbasikal trek dapat 5 'mesin' baharu bernilai hampir RM2 juta
TIGA pelumba basikal trek negara yang menggalas cabaran Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 memperoleh tonik tambahan apabila dibekalkan dengan 'mesin' baharu berteknologi tinggi - basikal WX-R Vorteq.
Mereka yang diketuai jagoan Datuk Azizulhasni Awang bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri bakal menerima lima buah basikal dengan setiap satu bernilai lebih RM385,800.
Basikal yang merupakan produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) itu melibatkan kos keseluruhan RM7.5 juta bagi memastikan emas pertama Malaysia di pentas Olimpik menjadi realiti.
Jentera tersebut disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kepada mereka ketika majlis pelancaran Team MAS di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada Khamis.
Azizulhasni yang akan bertanding pada temasya terbesar dunia itu buat kali kelima percaya menerusi penggunaan basikal itu mereka mampu memberi cabaran lebih sengit kepada pelumba dari Great Britain dan Jerman di Paris.
Beliau berkata, pada edisi Olimpik sebelum ini, pelumba dari negara itu mempunyai kelebihan dari segi teknologi basikal sekali gus membolehkan mereka lebih mudah mengatasi pelumba negara lain.
Pun begitu beliau yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman memberitahu penggunaan berbasikal itu tidak bermakna ia memberi jaminan bahawa mereka akan terus menang di Olimpik Paris.
"Ramai tidak faham ingat ada basikal baru boleh terus menang. Sebelum ini kita tiada R&D (projek membangunkan) basikal ini, kita selangkah ke belakang dengan pesaing seperti Great Britain dan Jerman. Mereka sudah ada keistimewaan dari segi basikal untuk pelumba dan teknologi, mereka selangkah ke depan.
"Kita mungkin berlatih bersungguh-sungguh tapi bila nak berlumba, kita sudah di belakang waktu itu dan ia tidak adil. UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) sudah buat peraturan baharu. Selepas Olimpik Rio (Brazil 2016) semua basikal kena terbuka (dijual) di pasaran dan semua boleh buat R&D.
"Saya fikir kita patut bangga bukan semua negara buat. Malaysia dan Jepun antara yang bersungguh-sungguh mengembangkan serta membantu pelumba mereka. Ini adalah teknologi dalam sukan.
"Sekarang kita sudah sama dari segi teknologi sukan dengan Great Britain, Jerman mahupun Jepun. Sekarang pelumba pula kena buktikan sebab ia ibarat 'engine' yang akan menentukan kemenangan nanti," katanya.
Sebagai rekod, projek R&D ISN dan MSN itu adalah perkara biasa bagi negara berbasikal trek utama untuk membangunkan basikal baharu setiap kali menjelang Olimpik.
Pada edisi Olimpik Tokyo empat tahun lalu, basikal Vorteq WX-R juga dibangunkan dan menelan kos RM13 juta.
Azizulhasni menjelaskan, ISN telah meningkatkan dan menambah baik beberapa aspek basikal WX-R Vorteq berbanding edisi yang lalu.
"Ia termasuk penambahbaikan dari segi daya geserannya, 'positioning' serta sut perlumbaan yang disarung oleh ketiga-tiga pelumba negara," katanya.
Basikal WX-R Vorteq edisi baharu ini turut berwajah baharu apabila ia tampil dalam warna hitam dan jingga – sama seperti tema Team MAS.
Dalam pada itu, sebelum merasa bahang di Paris, Azizulhasni bersama dua lagi pelumba akan terbang ke benua Eropah bermula di Belgium pada Sabtu untuk berlatih sepanjang Jun ini.
Mereka kemudian akan berada di Mallorca, Sepanyol sepanjang Julai sebelum terbang ke Perancis pada 1 Ogos.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!