Pasangan dinasihat semak semula status pernikahan jika ragu-ragu

Mohd Hapiz menunjukkan buku Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perlis 2006.
Mohd Hapiz menunjukkan buku Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perlis 2006.
A
A
A

KANGAR - Pasangan yang bernikah di Thailand dan menggunakan khidmat orang tengah untuk mendaftarkan pernikahan di Perlis dinasihatkan untuk mendaftarkan semula pernikahan mereka sekiranya ragu-ragu.

Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Negeri Perlis, Mohd Hapiz Rajali berkata, tindakan itu untuk mengelakkan sebarang isu yang timbul di masa hadapan sekiranya pernikahan itu tidak sah termasuk mengelakkan hak-hak pasangan tidak diiktiraf dan pendaftaran persekolahan anak-anak.

"Kalau ikut dari hukum syarak tu, pernikahan yang berlaku di Thailand jika mengikut rukun-rukun nikah statusnya adalah sah.

"Cuma dari segi perundangan Malaysia tu, dia balik kena daftar dan kena tengok dokumen yang diperlukan, memang tiada jalan pintas," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini pada Khamis.

Menurutnya, selama 11 tahun dalam bidang perundangan syariah kebanyakan kes pasangan bernikah di Thailand adalah kerana berpoligami.

"Selain itu ada juga kes pasangan muda yang mendapat tentangan keluarga untuk berkahwin, jadi mereka mengambil langkah untuk bernikah di Thailand," katanya.

Jelasnya, bagi urusan pendaftaran pernikahan di Perlis, pasangan hanya perlu mengemukakan sijil pengesahan perkahwinan dari Konsulat Jeneral Malaysia di Thailand, gambar pernikahan dan saksi.

"Walau bagaimanapun untuk kepastian, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) boleh membuat semakan dengan konsulat di Thailand. Selepas itu permohonan ini akan diproses dan selesai dalam tempoh sebulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hapiz berkata, mengikut Seksyen 31, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perlis 2006 memperuntukkan, mana-mana pasangan yang bernikah di Thailand perlu mendaftarkan pernikahan mereka dalam tempoh enam bulan.

"Antara syarat lain, perlu bermastautin sekurang-kurangnya lima hari di negeri ini.

"Pendek kata pasangan yang bernikah di luar negara tidak boleh mengambil mudah terhadap kepentingan mendaftarkan pernikahan mereka di negara ini mengikut prosedur ditetapkan Jabatan Agama Islam," katanya.

Sementara itu, Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim berkata, hanya jabatan kehakiman yang layak menentukan sama ada pernikahan itu sah atau tidak memandangkan pasangan-pasangan terlibat tidak melalui prosedur yang telah ditetapkan.

"JAIPs tiada kuasa untuk tentukan, hanya jabatan kehakiman," ujarnya ringkas.

Pada Rabu, seorang pegawai kanan JAIPs antara tiga direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes menerima suapan lebih RM1 juta bagi memudahkan urusan pendaftaran pernikahan di negeri itu.

Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 petang pada Selasa di pejabat JAIPs.

Sementara dua lagi suspek anak beranak yang juga merupakan imam sebuah masjid dan pemilik syarikat masing-masing berusia 52 dan 25 tahun ditahan kira-kira jam 6 petang hari sama di pejabat SPRM Perlis.

Menurut sumber, siasatan mendapati terdapat kesalahan pasangan tidak hadir dan tidak dicatatkan dalam buku daftar selain pendaftaran pernikahan tidak melalui prosiding mahkamah syariah.

Selain itu, ada pasangan yang ingin mendaftarkan perkahwinan mereka akan membayar wang tunai kepada syarikat perunding sebanyak RM5,000 dan wakil syarikat akan membayar denda kepada jabatan berkaitan melalui pegawai JAIPs tersebut sebanyak RM2,000.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!