Hospital Bukit Mertajam terus dapat perhatian

Pengarah HBM, Dr Prashant Subramanian (tiga dari kanan) memberi penerangan kepada Steven Sim mengenai perkembangan projek yang sedang dijalanlan di hospital terbabit.
Pengarah HBM, Dr Prashant Subramanian (tiga dari kanan) memberi penerangan kepada Steven Sim mengenai perkembangan projek yang sedang dijalanlan di hospital terbabit.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini terus mendapat perhatian dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pesakit selain giat melakukan pendigitalan ke arah yang lebih sistematik.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, usaha itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk memulakan pendigitalan terhadap sistem kesihatan menjelang 2030 atau lebih awal bagi memberi kemudahan yang terbaik kepada pesakit.

Menurutnya, bagi merealisasikan hasrat ini, Hospital HBM memerlukan sebanyak 261 buah komputer peribadi, 58 'Computer-on-wheels' dan 20 komputer riba.

"Dalam lawatan saya ke HBM baru-baru ini, saya telah memberikan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk sembilan buah komputer riba dan tiga komputer untuk kegunaan Jabatan Kecemasan untuk membantu mempercepatkan usaha ini.

"Selain daripada itu, saya juga telah memberikan sumbangan sebanyak RM150,000 untuk naik taraf bekalan elektrik, penambahan dan penukaran pendingin hawa di Jabatan Kecemasan untuk meningkatkan keselesaan warga kerja di HBM," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, pada tahun lalu pihaknya telah memberikan sumbangan sebanyak RM150,000 untuk naik taraf pendingin hawa di lima jabatan iaitu Jabatan Otorinolaringologi, Jabatan Psikiatri, Unit Pemulihan Cara Kerja, Wad Pembedahan lelaki dan Unit Pergigian.

Beliau menzahirkan rasa syukur apabila projek menaik taraf ini telah dijalankan dengan sempurnanya dan dapat terus memberi manfaat kepada pesakit-pesakit serta kakitangan hospital.

"Dalam lawatan ini juga, Pengarah hospital, Dr Prashant Subramanian berkesempatan menunjukkan kepada saya perkembangan dan kemajuan projek Pengimbas Tomografi (CT Scan) di HBM.

Artikel Berkaitan:

"Projek yang bernilai sekitar RM4.8 juta hampir 80% siap. Mesin CT Scan ini dijadualkan akan tiba ke HBM pada pertengahan bulan Jun.

"Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada akhir bulan Ogos dan akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Seberang Perai secara amnya dan Bukit Mertajam secara khususnya," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berharap sumbangan diberikan dapat terus memberikan motivasi kepada seluruh warga kerja HBM untuk menyampaikan perkhidmatan yang selamat, saksama, berkualiti tinggi, tepat pada masanya dan berteraskan 'patient centric'.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!