Pendakwaan mohon mahkamah batal rayuan Rewcastle-Brown

Clare (kiri) dan Sultanah Nur Zahirah
Clare (kiri) dan Sultanah Nur Zahirah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pendakwaan pada Khamis memohon Mahkamah Tinggi di sini membatalkan rayuan pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan memfitnah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Pendakwaan Negeri, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani.

Beliau berkata, ia susulan tindakan perayu yang tidak pernah hadir pada mana-mana prosiding mahkamah sepanjang kes itu berlangsung iaitu sejak pendakwaan, sabitan mahupun rayuan.

"Saya difahamkan Yang Arif Hakim telah mengeluarkan arahan untuk perayu hadir pada pengurusan kes hari ini. Bagaimanapun, perayu sendiri ternyata masih gagal hadir.

"Justeru, saya dengan rendah diri memohon rayuan ini dibatalkan atas alasan ketidakhadiran perayu sepanjang masa sama ada dari Mahkamah Majistret hingga ke Mahkamah Tinggi. Tindakan perayu itu secara automatiknya telah mengetepikan hak dalam prosiding mahkamah ini," katanya.

Engku Ahmad Rashdi berkata, tindakan wanita warga Britain itu seolah-olah bertujuan melengah-lengahkan masa mahkamah.

Peguam Guok Ngek Seong, yang mewakili Rewcastle-Brown, pula memohon untuk membalas hujah pendakwaan namun Hassan menasihati beliau agar berbuat demikian pada prosiding seterusnya iaitu 21 Julai ini memandangkan rekod rayuan belum diterima daripada Mahkamah Majistret.

Hakim itu juga turut mengulangi perintah agar perayu hadir pada prosiding seterusnya.

Guok kemudian memaklumkan pemberita bahawa pihaknya telah mengemukakan hujahan ringkas berhubung isu ketidakhadiran perayu.

Artikel Berkaitan:

"Untuk pengurusan kes hari ini, kami juga telah failkan petisyen rayuan pada Selasa selepas Mahkamah Majistret memberi alasan penghakiman berhubung kes ini pada hari sama," katanya.

Ketika prosiding pertama pengurusan kes rayuan Rewcastle-Brown pada 7 Mei lepas, Hassan mengarahkan wanita itu hadir ke mahkamah hari ini.

Pada 7 Februari lepas, Mahkamah Majistret menjatuhi hukuman penjara dua tahun ke atas Rewcastle-Brown selepas memutuskan beliau bersalah memfitnah Sultanah Nur Zahirah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Rewcastle-Brown yang beralamat di London, United Kingdom telah menulis buku bertajuk The Sarawak Report-The Inside Story of 1MDB Expose yang didakwa mengandungi tohmahan terhadap Sultanah Terengganu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 8 pagi 14 September 2018 di Lot 60048, Taman Chendering Utama, di sini mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali. - Bernama