Lelaki menyamar polis, rompak berkumpulan dipenjara lima tahun

Mahkamah Tawau.
Mahkamah Tawau.
A
A
A

TAWAU - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis kerana melakukan rompakan berkumpulan dengan menyamar sebagai polis di Semporna, dua tahun lepas.

Hakim Rosli Ahmad juga memerintahkan Romy Made, 50, yang tidak mempunyai pekerjaan menjalani hukuman penjara daripada tarikh ditangkap pada 24 Ogos 2022.

Mengikut pertuduhan, Romy bersama seorang lagi suspek yang masih bebas, didakwa melakukan rompakan berkumpulan di Kampung Mentaritip, Semporna pada jam 4.20 petang, 21 Ogos 2022.

Berdasarkan fakta kes, dua lelaki menaiki sebuah kereta datang ke sebuah rumah pekerja yang menjaga kawasan solar elektrik di kawasan tersebut dan memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai polis serta menunjukkan gari.

Kedua-dua suspek berkenaan kemudian mengarahkan pekerja yang tinggal di rumah itu untuk keluar dan suspek masuk ke rumah itu lalu mengambil barang pekerja terbabit termasuk lima telefon bimbit, beg kulit mengandungi wang tunai RM2,500 serta sebuah motosikal.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad dan tertuduh diwakili peguam Jhesseny P Khang.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!