Bekas KM Sabah cadang tubuh jawatankuasa kembalikan Labuan

Teck Lee
Teck Lee
A
A
A

KOTA KINABALU -Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee telah mencadangkan kepada pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya Jawatankuasa Teknikal Mengenai Pemulangan Labuan ditubuhkan.

Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, cadangan penubuhan jawatankuasa itu adalah bagi merancang untuk mengambil semula Labuan dan seterusnya melaksanakan pembinaan jambatan yang menghubungkan Sabah dan pulau tersebut.

"Pada peringkat perancangan jambatan Labuan ini, tiada rundingan dengan kerajaan Persekutuan diperlukan lagi kerana kepimpinan Persekutuan tidak menunjukkan minat dan keikhlasan dalam membina jambatan itu.

"Oleh itu, jambatan Labuan akan menjadi projek negeri dengan pandangan bahawa pengembalian Labuan ke Sabah tidak dapat dielakkan dan hanya menunggu masa.

"Kerajaan Sabah harus bersungguh-sungguh meletakkan dirinya untuk mengambil balik Labuan dan saya telah pun mencadangkan kepada pemimpin GRS supaya Jawatankuasa Teknikal Mengenai Pemulangan Labuan ditubuhkan untuk merancang perkara tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya lagi, selepas pemulangan Labuan kepada Sabah dan siapnya jambatan yang dijangka menjelang 2028, tiada keperluan untuk mengawal imigresen yang menyusahkan di sempadan Labuan dan Sabah.

"Ini akan memudahkan perhubungan darat. Jambatan itu akan menjadi penting utama kepada pertumbuhan ekonomi di rantau ini.

"Lapangan terbang Labuan, yang bertaraf antarabangsa, boleh menambah sambungan penerbangan Sabah, terutamanya di Selatan Sabah, Sarawak Utara dan Brunei," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, kongsi beliau lagi, cadangan komprehensif bekas Ketua Menteri, Tan Sri Harris Salleh, untuk membina jambatan Labuan secara Build Operate Transfer (BOT) menggunakan pertukaran tanah wajar mendapat perhatian segera kerajaan Sabah.

"Ini kerana jambatan Labuan merupakan pemangkin ekonomi yang besar kepada ekonomi pulau Labuan dan Sabah.

"Idea pertukaran tanah melibatkan tanah tebus guna adalah cara yang bijak untuk mencipta kemakmuran bagi membina infrastruktur kritikal," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!