10 awal Zulhijah terkandung semua ibadah, hari paling baik dalam setahun
BULAN Zulhijah merupakan salah satu daripada empat bulan haram di dalam Islam dan disebut juga sebagai bulan haji dek kerana kemuncak pelaksanaan ibadah haji berada pada bulan ini.
Terdapat pelbagai kelebihan yang besar buat kita pada bulan terakhir dalam kalendar Islam ini terutamanya pada 10 hari pertamanya.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, antara kelebihan 10 awal Zulhijah itu adalah pahalanya yang lebih besar daripada jihad.
Beliau merujuk kepada sepotong hadis Rasulullah SAW: “Tiada amalan yang dilakukan pada hari lain yang lebih baik daripada amalan pada 10 hari ini.” Para sahabat bertanya: “Walaupun jihad?”
Baginda menjawab: “Tidak juga jihad kecuali jika seseorang keluar dengan nyawa dan hartanya dan dia tidak kembali lagi.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Himpunan semua ibadah utama
Menurut pensyarah itu, Imam Ibnu Hajar dalam Fathul Bari menyatakan secara zahirnya sebab yang menjadikan 10 hari pertama Zulhijah ini lebih utama daripada yang lain kerana ia menghimpunkan semua amalan utama di dalam Islam iaitu solat, puasa, sedekah dan haji.
“Himpunan amalan-amalan ini tidak akan berlaku dalam hari-hari lain.
“Oleh sebab itu Rasulullah SAW mengangkat hari-hari ini sebagai hari yang paling baik dalam setahun,” jelasnya.
Beliau merujuk kepada hadis Rasulullah SAW: “Sebaik-baik hari dalam dunia ini adalah 10 hari ini.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban dan Al-Bazzar)
Tambahnya lagi, atas dasar itu Imam Ibnu Taimiyyah menganggap 10 hari pertama dalam bulan Zulhijah ini lebih utama daripada 10 hari terakhir bulan Ramadan seperti dinukilkan dalam kitab Majmu’ Fatawa.
“Rasulullah SAW meletakkan hari ini sebagai hari yang mesti dipertingkatkan amalan harian kita. Baginda melihatnya sebagai hari yang sangat dicintai oleh ALLAH.
“Sabda Rasulullah: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi ALLAH dan tidak ada hari yang lebih disayangi oleh ALLAH supaya beramal di dalamnya melainkan 10 hari ini.
“Maka perbanyakkanlah bertahlil, bertakbir dan bertahmid.” (Hadis Riwayat At-Tabrani)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!