Penyeludup tinggal lori muatan rokok lebih RM800,000 di kawasan terpencil
PASIR MAS - Jabatan Kastam Kelantan mematahkan cubaan menyeludup sebanyak 860,000 batang rokok bernilai RM236,500 daripada sebuah lori yang ditinggalkan di Kampung Dalam di Tumpat, dekat sini Ahad lepas.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, dalam kejadian pada jam 6.30 pagi itu, hasil daripada intipan, pihaknya menemukan sebuah lori ditinggalkan di kawasan terpencil di kampung berkenaan dan pemeriksaan di bahagian belakang lori itu menemukan puluhan kotak berisi rokok putih jenama Saat.
"Secara keseluruhan nilai rampasan termasuk cukai (RM577,060) dan lori (RM50,000) dianggarkan sebanyak RM863,560 dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan pemilik lori yang disita,” katanya dalam sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Kastam Rantau Panjang di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi penyeludup adalah dengan membawa bekalan rokok tidak bercukai itu ke kawasan terpencil dan meninggalkan bersama lori untuk diambil pula oleh individu lain.
Wan Jamal berkata, kastam tidak menolak kemungkinan lori itu bertukar pemandu dengan pemandu sindiket lain yang membawa bekalan rokok itu untuk dipasarkan ke negeri ini.
Menurutnya, siasatan juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada rokok tidak bercukai ini dibawa masuk melalui pangkalan haram di sekitar sempadan atau dari luar Kelantan sebelum diedarkan.Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
"Kastam juga menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!