Sesat tiga hari di hutan, dua pemancing ditemukan lemah, keletihan

Dua pemancing ditemukan dalam keadaan lemah selepas sesat di hutan simpan kawasan Tibow Sapulut- Sook.
Dua pemancing ditemukan dalam keadaan lemah selepas sesat di hutan simpan kawasan Tibow Sapulut- Sook.
A
A
A

KENINGAU - Dua pemancing yang hilang sejak tiga hari lalu ditemukan dalam keadaan lemah akibat keletihan selepas tersesat di dalam hutan simpan kawasan Tibow Sapulut- Sook, dekat sini, pada Khamis.

Baranti Binukut @ Siem, 30, dan rakannya, Jerome Alan Ansibin, 23, ditemukan di tepi jalan oleh pasukan Jabatan Perhutanan Sabah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Faisal Ahmad berkata, pihaknya hanya menerima laporan berhubung kehilangan kedua-dua mangsa pada jam 8.59 pagi Khamis.

Menurutnya, seramai empat anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak sejauh 114 kilometer dari BBP Sook untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

"Menurut pengadu, mangsa masuk ke hutan untuk memancing pada Selasa lalu dan sehingga hari ini belum balik ke rumah.

"Pasukan bomba ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan, namun kedua-dua mangsa dimaklumkan telah ditemui pada jam 3.45 petang oleh pasukan Jabatan Perhutanan di tepi jalan.

"Kedua-duanya dalam keadaan selamat, namun lemah dan pucat akibat keletihan," katanya ketika dihubungj pada Khamis.

Susulan penemuan kedua-dua mangsa tersebut, operasi ditamatkan pada jam 3.50 petang. "Mangsa pula diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!