Lelaki maut terjatuh tebing lokasi penggambaran Mission: Impossible-Fallout
LYSEFJORD - Seorang lelaki maut selepas terjatuh dari tebing setinggi 604 meter di lokasi pernah dijadikan penggambaran Mission: Impossible- Fallout yang dilakonkan Tom Cruise, lapor CNN.
Tebing dikenali sebagai Preikestolen atau Pulpit Rock terletak di barat daya Norway yang mengadap Lysefjord merupakan pusat pendakian terkenal di negara itu dan menerima 300,000 pengunjung setahun.
Peguam polis, Nina Thommesen mengesahkan seorang lelaki berumur 40 tahun dilaporkan maut pada Isnin dan semasa kejadian mangsa datang ke tebing itu secara berseorangan.
"Polis sedang menyiasat kes ini sebagai kemalangan dan tidak mengesyaki terdapat unsur jenayah," katanya.
Dua saksi yang disoal siasat menjelaskan mangsa tergelincir sebelum terjatuh dari tebing tersebut.
Preikestolen menjadi terkenal selepas penggambaran Mission: Impossible- Fallout dan sejak itu lokasi tebing itu telah tular serta menarik ratusan pengunjung dari dalam dan luar negara.
Dalam filem Box Office itu memaparkan Cruise yang memegang watak sebagai Ethan Hunt berlawan dengan Walker (Henry Cavill) untuk merebut alat peletup peledak nuklear - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!