Bila berat badan berlebihan sudah dianggap normal di negara ini
MERAK Jalanan tidak terkejut dengan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 oleh Kementerian Kesihatan yang mendedahkan 11 juta rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan dan obes.
Pada pendapat Merak Jalanan, ramai antara kita yang sudah menganggap berat badan berlebihan sebagai perkara biasa, malah ada bangga dengan mengulangi ungkapan ‘gemuk is awesome’ yang pernah dipopularkan oleh seorang pelawak popular tanah air satu ketika dahulu.
Ungkapan tersebut sebenarnya sekadar gurauan untuk memberi kata-kata positif kepada golongan obes agar tidak merendah diri.
Tapi, lihat sahaja makanan yang dijual di negara kita, sama ada di kedai-kedai atau diiklankan di media sosial, banyak dilakukan revolusi seni dalam persembahan makanan.
Misalnya, ada yang letak cheese sekilo, ada yang membuat mukbang di media sosial, dan ada pula yang minum air buah dicampur pelbagai manisan. Semua ini penyumbang kepada kegemukan.
Merak Jalanan pernah bertanyakan penjual makanan tular cheese sekilo, adakah dia sedar bahawa makanan yang dijualnya itu tidak sihat.
Jawapan peniaga itu, dia tahu tetapi makanan itu menjadi pilihan masa kini. Mahu tidak mahu, dia perlu mengejar permintaan untuk mendapatkan keuntungan walaupun sedar tidak baik untuk kesihatan pelanggan.
Itu belum lagi dengan review makanan di media sosial. Salah seorang pempengaruh berkata, dia membuat video tentang makanan kerana trend dan pilihan penontonnya.
Malah, pempengaruh obesiti itu juga tidak kisah dengan bentuk badannya asalkan boleh memberi keuntungan.
Jadi, tidak hairanlah kenapa hampir separuh rakyat Malaysia sudah gemuk kerana ungkapan ‘gemuk is awesome’ itu sudah dinormalisasikan dalam kehidupan kita.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!