Betapa jijiknya perasuah, bab nikah pun boleh buat duit

Hampir 300 pasangan dari Malaysia menikah di Selatan Thailand setiap bulan. Gambar hiasan
Hampir 300 pasangan dari Malaysia menikah di Selatan Thailand setiap bulan. Gambar hiasan
A
A
A

SYABAS buat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana berjaya membongkar kegiatan rasuah membabitkan tiga lelaki termasuk pendaftar perkahwinan jabatan kerajaan di Perlis berhubung urusan pendaftaran perkahwinan pasangan yang bernikah di Thailand.

Nilai suapan pula bukan calang-calang. Keseluruhannya berjumlah RM1.18 juta untuk meluluskan pasangan yang bernikah di sempadan.

Berdasarkan maklumat dilaporkan, pasangan yang mahu mendaftarkan pernikahan itu perlu membayar sekitar RM5,000 sebagai wang pendaftaran pernikahan.

Ia merangkumi RM2,000 sebagai bayaran yang dikatakan sebagai denda kerana bernikah di Thailand dan RM3,000 lagi dibahagikan antara mereka bertiga.

Jika diikutkan nilai bayaran itu, dalam tempoh setahun mereka beroperasi iaitu dari tahun 2022 hingga tahun lalu, dianggarkan sebanyak 236 pasangan telah ‘disahkan’ perkahwinan oleh mereka bertiga.

Konsulat Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi juga sebelum ini mendedahkan hampir 300 pasangan dari Malaysia menikah di Selatan Thailand setiap bulan.

Daripada jumlah tersebut, 60 peratus perkahwinan itu melibatkan berpoligami dan selebihnya kerana tidak mendapat izin keluarga termasuk bernikah dengan pasangan di negara ini.

Kebanyakan mereka akan memilih Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla dan Satun untuk melakukan akad nikah.

Artikel Berkaitan:

Cukup mudah untuk mereka bertiga buat duit dan cukup senang juga pasangan yang mahu berkahwin di sempadan kerana tidak perlu mengeluarkan modal yang besar seperti bernikah di dalam negara yang boleh mencecah RM10,000 atau lebih tinggi. Itu kata sesetengah mereka.

Dengan pembongkaran itu juga, kita percaya kegiatan salah laku ini bukan hanya melibatkan di Perlis, mungkin juga negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand seperti Kedah, Perak dan Kelantan.

Mungkin SPRM atau majlis agama negeri boleh melakukan risikan tambahan atau individu yang mempunyai maklumat boleh tampil untuk menyalurkan maklumat bagi membongkar lagi kegiatan menyalahi undang-undang ini.

Bagi pasangan yang berhajat membelakangi undang-undang, ingatlah anda bukan sahaja bakal berdepan dengan hukuman, malah bernikah di sempadan boleh mendatangkan kesulitan di kemudian hari jika tidak didaftarkan secara sah, seperti pendaftaran anak dan pembahagian harta pusaka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!