Bantahan penggunaan bahasa Melayu perlu ditangani secara serius

Wakil Lembaga Sekolah dan PIBG sekolah menengah Cina yang tidak bersetuju melaksanakan DLP dalam bahasa Melayu pada sidang akhbar di Pulau Pinang pada Rabu.
Wakil Lembaga Sekolah dan PIBG sekolah menengah Cina yang tidak bersetuju melaksanakan DLP dalam bahasa Melayu pada sidang akhbar di Pulau Pinang pada Rabu.
A
A
A

ISU-isu melibatkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 pada 27 Mei lalu masih lagi hangat dibincangkan dalam kalangan netizen, namun timbul pula kontroversi menyentuh soal dasar penggunaan bahasa Melayu di sekolah-sekolah tertentu.

Pada Rabu, Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang membantah pelaksanaan secara paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Ia berikutan sekolah separuh kerajaan jenis Cina itu mendakwa hampir semua ibu bapa di sekolah mereka menentang dasar itu dan enggan memasukkan anak mereka ke dalam kelas.

Justeru, mereka menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mendengar bantahan, menghormati kehendak ibu bapa dan kembali kepada hasrat asal Program Dwibahasa (DLP) dalam subjek Sains serta Matematik.

Bantahan PIBG itu menimbulkan pertikaian daripada pihak-pihak tertentu yang menyifatkan tindakan berkenaan seperti menentang inisiatif kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Pada Rabu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak sebahagian ibu bapa yang tidak bersetuju dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di kelas berkenaan.

Ujar beliau, inisiatif di bawah KPM itu sepatutnya disokong sepenuhnya oleh semua pihak.

Bagaimanapun, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dalam satu sidang media pada Khamis pula tampil mempertahankan bantahan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, tiada isu menentang penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, sebaliknya mahu DLP dalam subjek Sains dan Matematik dilaksanakan tanpa syarat agar ibu bapa bebas membuat pilihan untuk anak-anak mereka.

Jelasnya, bantahan tersebut dibuat setelah sebilangan besar ibu bapa, bahkan turut melibatkan pelajar Melayu, mahu anak mereka belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Sudah pasti akan ada usaha mempolitikkan isu berkenaan termasuk menyentuh sentimen 3R (agama, raja, kaum) daripada pelbagai pihak seterusnya membangkitkan kemarahan orang ramai.

Oleh itu, peranan kerajaan terutamanya KPM menangani isu tersebut dengan baik adalah penting bagi menjaga sentimen perpaduan dan tidak mengganggu-gugat keharmonian rakyat di negara ini.

Isu pendidikan perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana ia melibatkan pembangunan insaniah generasi muda akan datang, serta berkemungkinan bakal menjadi pemimpin negara pada suatu hari nanti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!