Jaim pertingkat penguatkuasaan banteras kaki judi ekor
MELAKA - Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) beri amaran akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan tiada lagi orang Islam yang terlibat membeli nombor ekor di negeri ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jaim, Datuk Rahimin Bani berkata, sejak Op Ekor dijalankan 2 Januari lalu sehingga semalam pihaknya menahan seramai 19 individu di sekitar Melaka Tengah dan Alor Gajah.
"Kesemuanya ditahan berusia antara 35 hingga 68 tahun termasuk empat warga asing masing-masing dua dari Indonesia dan Bangladesh.
“Dalam operasi yang dijalankan semalam, kita menahan empat lagi lelaki Islam yang sedang membeli nombor ekor dan turut merampas 12 nombor ekor yang dibeli oleh pelanggan terbabit,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.
Menurutnya, kesemua serbuan membabitkan premis menjual nombor ekor di Ujong Pasir, Malim, Kota Laksamana, Jalan Tengkera, Taman Cheng Baru, Taman Cheng Permai, Taman Teknologi Cheng, Taman Dato Tamby Chik, Taman Merdeka, Bukit Baru, Taman Cergas dan Taman Tunggal di Alor Gajah.
Rahimin berkata, tindakan dilakukan berikutan aduan orang ramai tentang wujudnya kegiatan judi melibatkan umat Islam.
"Kesemua yang ditahan diberikan notis hadir bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 81 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana berjudi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!