Gambaran kesengsaraan ketika sakaratulmaut

Saatnya pasti tiba, ia pintu sebelum menuju ke alam barzakh dan seterusnya ke akhirat yang kekal abadi


LAKUKAN persediaan untuk kita menghadapi sakaratulmaut dengan memperbanyakkan amal soleh agar kita tergolong dalam kalangan hamba-NYA yang dianugerahkan husnul khatimah iaitu pengakhiran hidup yang baik. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
LAKUKAN persediaan untuk kita menghadapi sakaratulmaut dengan memperbanyakkan amal soleh agar kita tergolong dalam kalangan hamba-NYA yang dianugerahkan husnul khatimah iaitu pengakhiran hidup yang baik. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
A
A
A

MATI itu pasti, hidup pula insya-ALLAH jika diizinkan-NYA untuk kita terus bernafas di bumi yang fana ini. Cuma bila, bagaimana dan di mana, semua itu kekal menjadi rahsia Sang Pencipta.

Tiada siapa yang tahu bilakah ajalnya tiba. Apa yang pasti maut tidak mengira siapa pun kita. Muda atau tua, kaya atau miskin dan sebagainya. Setiap insan yang hidup pasti akan mati.

Saat di ambang kematian, segala apa yang dilalui di dunia akan bergentayangan di hadapan mata. Satu persatu bayangan riwayat hidup kita bermula dari dilahirkan hinggalah sampai masa kita kembali kepada YANG MAHA ESA terlihat.

Seandainya kita pernah menzalimi orang lain, ketika itu jugalah muncul wajah insan yang pernah menjadi mangsanya ‘melintas’.

“Begitu juga jika seseorang pernah melakukan zina, maka dosa kesalahannya itu akan jelas pada matanya.

“Sekiranya dia pernah mengambil dan merampas hak orang lain, maka saat itu dia akan menyesal dan mahu mengembalikan semula hak tersebut kepada pemiliknya.

“Bahkan, jiwanya juga akan terseksa pada waktu tersebut, tetapi masa sudah pun terlambat. Sebaliknya kini adalah waktu untuk kembali kepada Pencipta yang kekal abadi,” katanya sebagaimana dipetik menerusi teks khutbah Jumaat bertajuk ‘Kesengsaraan sakaratulmaut’ yang disiarkan menerusi laman web rasmi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada Jumaat lalu.

Tidak cukup sekadar itu, apabila sakaratulmaut tiba, manusia akan berhadapan dengan satu lagi penderitaan yang cukup dahsyat!

Artikel Berkaitan:

TIADA siapa yang dapat lari daripada kematian. Detiknya pasti tiba tanpa dapat dilengah-lengahkan lagi. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
TIADA siapa yang dapat lari daripada kematian. Detiknya pasti tiba tanpa dapat dilengah-lengahkan lagi. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Gambaran itu disebut jelas dalam al-Quran, ALLAH SWT berfirman: “(Dan alangkah dahsyatnya) jika kamu melihat ketika orang-orang yang zalim (berada) dalam penderitaan sakaratulmaut (ketika hendak putus nyawa) sedang para malaikat menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): “Keluarkanlah nyawamu (dari tubuh kamu sendiri).

"Pada hari ini, kamu akandibalas dengan azab seksa yang sangat menghina (kamu) sehina-hina disebabkan oleh kata-kata yang tidak benar yang telah kamu katakan terhadap ALLAH dan kamu menyombongkan diri (menolak) terhadap ayat-ayat keterangan-NYA.” (Surah al-An’am: 93)

Kesakitan nyawa terpisah dari badan

Sesungguhnya, bayangan-bayangan yang diberikan sudah cukup menggentarkan hati. Apatah lagi apabila saat kematian kita tiba kelak.

Sudahlah sakitnya tidak terubat, deritanya pula tidak terkata. Ditambah pula jika kita sebagai hamba ALLAH tiada rasa keinginan untuk membuat persediaan menghadapi maut.

“Andai itulah yang berlaku, maka itu petanda bahawa hatinya sudah hitam dan keras kerana lalai dengan kenikmatan dunia yang bersifat sementara sahaja,” kata khatib.

JAINJ kemudian mengungkapkan kisah sakaratulmaut yang dihadapi oleh Rasulullah SAW.

Aisyah RA meriwayatkan bahawa Baginda SAW menyapu wajahnya yang mulia dengan semangkuk air yang dihidangkan di sisinya sambil mengucap:

“Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan ALLAH, sesungguhnya pada setiap kematian itu akan didahului oleh kepedihan (sakarat).” Dan Baginda mengangkat tangannya dan berkata: “Menuju ar-Rafiqa al-A’la (Kekasih yang Tertinggi).” Sehingga akhirnya roh Baginda dicabut dan tangannya rebah.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Dalam satu riwayat, Saidina Umar Al-Khattab RA pernah mengatakan bahawa kematian itu digambarkan seumpama seranting duri yang dimasukkan dari mulut dan menembusi ke seluruh tubuh badan.

“Lalu ranting berduri itu ditarik dan melalui semua yang melekat pada tubuh badannya,” ungkapnya.

HADIAHKANLAH bacaan Surah Yasin kepada orang yang menghadapi sakaratulmaut. -Foto: Canva
HADIAHKANLAH bacaan Surah Yasin kepada orang yang menghadapi sakaratulmaut. -Foto: Canva

Panduan syarak

Jadi apabila kita melihat atau berhadapan dengan orang yang menghadapi sakaratulmaut, usah hanya memandang tanpa berbuat apa-apa.

Sebaliknya, ikutilah panduan syarak yang dikongsikan oleh JAINJ seperti berikut:

1. Ajarkan mereka untuk mengucapkan kalimah Tauhid.

2. Hadapkan tubuh orang yang sakaratulmaut ke arah kiblat dan baringkan badannya ke sebelah kanan.

3. Menghadiahkan bacaan Surah Yasin kepada orang yang menghadapi sakaratulmaut.

Buat diri kita sebagai bakal jenazah, khatib menyeru agar sama-sama kita menyedari dan menginsafi hakikat bahawa sakaratulmaut itu merupakan detik yang amat mengerikan dan akan mengakhiri hidup kita pada bila-bila masa.

“Ia adalah pintu sebelum kita menuju ke alam barzakh dan seterusnya ke alam akhirat yang kekal abadi.

“Justeru lalukanlah segala persediaan untuk kita menghadapinya dengan memperbanyakkan amal soleh agar kita tergolong dalam kalangan hamba-NYA yang dianugerahkan husnul khatimah iaitu pengakhiran hidup yang baik,” katanya.

*Teks khutbah Jumaat disediakan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan disiarkan menerusi laman web rasmi jabatan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!