Rebut motosikal, adik libas abang dengan parang

Seorang buruh bertindak menetak isterinya menggunakan parang dipercayai selepas mangsa meminta cerai dalam kejadian di Ketengah Jaya, Dungun, Ahad lepas.Gambar hiasan
Seorang buruh bertindak menetak isterinya menggunakan parang dipercayai selepas mangsa meminta cerai dalam kejadian di Ketengah Jaya, Dungun, Ahad lepas.Gambar hiasan
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang adik tergamak melibas abang kandungnya dengan sebilah parang selepas mangsa dipercayai menghalangnya menggunakan motosikal dalam kejadian di Kampung Nelayan Kuala Linggi, Kuala Sungai Baru, di sini, pada malam Rabu.

Kejadian lebih kurang jam 8.47 malam, menyebabkan mangsa berusia 33 tahun dan bekerja sebagai peniaga, mengalami kecederaan putus urat jari tangan kiri selepas terkena libasan parang sepanjang satu 1/2 kaki panjang.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, berkata, sebelum kejadian mangsa telah hadir ke Balai Polis Kuala Sungai Baru dan memaklumkan adiknya berusia 27 tahun telah mengamuk dan memukulnya dengan sebatang kayu.

Menurutnya, mangsa kemudian telah pergi semula ke rumahnya ditemani anggota Cegah Jenayah dan anggota Angkatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi menangkap suspek yang merupakan seorang penganggur dalam keadaan agresif.

Katanya, namun ketika mangsa masuk ke dalam rumah, dia telah diserang suspek menggunakan parang sebelum lelaki itu berjaya ditahan oleh pihak polis.

"Suspek telah melibas parang ke arah mangsa sehingga menyebabkan kecederaan pada tangan kiri mangsa.

"Mangsa yang mengalami kecederaan di tangan dan jari kiri telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Melaka berikutan mengalami kecederaan parah di bahagian tangan kiri mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, akibat insiden itu mangsa mengalami kecederaan putus urat jari kiri tangan sehingga menyebabkan tiga jari kiri mangsa tidak dapat digerakkan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa bagaimanapun masih dirawat di hospital dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Hasil saringan urin mendapati dia positif dadah dan polis turut merampas parang yang dipercayai digunakan dalam insiden itu," katanya lagi.

Tambahnya, polis akan membuat permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Alor Gajah pada Jumaat dan kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!