Kubur tempat mulia, ingatkan kematian

Jaga adab, patuhi larangan digariskan Islam ketika ziarah

TIGA waktu afdal menziarahi kubur iaitu selepas Asar hari Khamis, sepanjang hari Jumaat dan sebelum masuk Zuhur hari Sabtu. Foto CANVA
TIGA waktu afdal menziarahi kubur iaitu selepas Asar hari Khamis, sepanjang hari Jumaat dan sebelum masuk Zuhur hari Sabtu. Foto CANVA
A
A
A

KEBELAKANGAN ini, perbuatan menjadikan kawasan perkuburan sebagai kandungan media sosial semakin menjadi-jadi.

Malah dibimbangi perbuatan bergurau senda di kubur, berpakaian tidak sopan dan melakukan perkara yang dilarang agama itu akan menjadi suatu normalisasi kelak sekiranya dibiarkan bahkan ia boleh menjatuhkan martabat kubur sebagai suatu tempat yang mulia.

Berbicara mengenai hukum berkaitan kubur dan adab-adab serta larangan yang perlu dipatuhi, Sinar Islam Plus mendapatkan pendakwah, Ustaz Mohd Syahid Mohd Zaini sebagai pencerahan.

USTAZ MOHD SYAHID
USTAZ MOHD SYAHID

Kubur mengingatkan kepada kematian, hari akhirat

Sebagai mukadimahnya, beliau menjelaskan, kubur dianggap tempat yang mulia kerana ia mendekatkan diri umat Islam kepada ALLAH SWT selain mengingatkan kita kepada kematian dan hari akhirat.

Ia berdasarkan hadis yang diriwayatkan Buraidah Al-Aslami RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya aku pernah melarang kamu untuk menziarahi perkuburan. Maka (sekarang) ziarahilah kerana ia mengingatkan kamu kepada akhirat.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, ketika melalui tanah perkuburan Islam, disunatkan kepada umat Islam untuk memberikan salam kepada penghuni kubur seperti yang diajarkan Baginda SAW melalui hadisnya.

Menurut pendakwah itu, antara adab-adab dan sunnah Nabi Muhammad SAW ketika menziarahi kubur:

1 - Hendaklah berpakaian menutup aurat.

2 - Digalakkan berada dalam keadaan berwuduk.

3 - Disunatkan memberi salam secara umum kepada sekalian ahli kubur ketika masuk ke kawasan tanah perkuburan Islam dan mendoakan semoga rahmat dan kesejahteraan ke atas mereka.

4 - Disunatkan memberi salam secara khusus kepada ahli kubur yang diziarahi dalam keadaan berdiri rapat di tepi kuburnya dan menghadap ke arah muka jenazah serta membelakangkan kiblat.

5 - Disunatkan membaca ayat-ayat suci al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati.

6 - Disunatkan berdoa kepada si mati menghadap ke arah kiblat.

7 - Digalakkan menyebut kebaikan si mati dan bukan keburukannya.

8 - Wanita dibolehkan menziarahi kubur jika tidak mendatangkan fitnah.

9 - Pelawat bukan Islam dibenarkan menziarahi tanah perkuburan Islam tetapi hendaklah menjaga tatasusila dan berpakaian sopan.

JAGALAH adab dan tingkah laku ketika menziarahi kubur serta jauhilah larangan yang telah digariskan Islam. Foto CANVA
JAGALAH adab dan tingkah laku ketika menziarahi kubur serta jauhilah larangan yang telah digariskan Islam. Foto CANVA

Bagaimanapun menurut Mohd Syahid, ada larangan-larangan yang perlu dijauhi apabila melakukan ziarah kubur. Antaranya:

1 - Melakukan perkara yang menyalahi adab ketika menziarahi kubur seperti berkata-kata dengan suara yang kuat dan bergurau senda.

2 - Meratapi jenazah dengan menghitung-hitung kebaikan kita kepadanya atau menangisi jenazah dengan suara yang meraung-raung, memukul-mukul dada, menepuk-nepuk kepala atau mengoyakkan baju.

3 - Membawa jambangan bunga, daun dan sebagainya bersama-sama jenazah. Perbuatan ini dikira sebagai bidaah yang haram.

4 - Membuat binaan di atas kubur sama ada di dalam atau di luar kubur dengan bahan-bahan yang boleh menyerap haba panas seperti simen, kapur dan sebagainya.

Sebaliknya, jika membina kepok atau binaan di atas tanah kubur dengan tujuan agar tanahnya tidak mendap atau roboh, membezakan antara tanah kubur dengan tanah biasa atau mengelakkan dipijak dan tidak dihormati, maka harus membuat binaan di atasnya dengan syarat binaannya rendah, tidak melibatkan pembaziran dan sederhana bentuknya.

5 - Gurauan melampau di atas kubur, berbuat bising dan menyebut keburukan jenazah.

6. Duduk di atas kubur.

Waktu ziarah kubur

Menjawab persoalan waktu ziarah kubur, Mohd Syahid memberitahu seperti direkodkan dalam kitab Riyadus Solihin, tiga waktu afdal menziarahi kubur terutamanya ibu bapa kita, disunatkan menziarahi kubur pada selepas Asar hari Khamis, sepanjang hari Jumaat dan sebelum masuk waktu Zuhur hari Sabtu.

Bagaimanapun, katanya, tiada hadis sahih dalam menjawab persoalan waktu terbaik menziarahi kubur dan cukup disandarkan kepada saranan para ulama.

Mengulas mengenai hukum seorang wanita yang kematian suami, menurutnya Rasulullah SAW menegah para wanita mengikut jenazah ke kuburan dan memadai mereka hanya menunggu di rumah bagi menghormati hukum ihdad (berkabung) dalam tempoh idahnya.

Sebagai kesimpulannya, Mohd Syahid mengingatkan umat Islam bahawa kubur merupakan tempat disimpan jenazah dan bukanlah tempat untuk melakukan amalan khurafat.

WANITA dibenarkan menziarahi kubur namun jika baru kematian suami, Rasulullah SAW menegah para wanita mengikut jenazah ke kuburan dan memadai mereka hanya menunggu di rumah bagi menghormati hukum ihdad (berkabung) dalam tempoh idahnya. Foto CANVA
WANITA dibenarkan menziarahi kubur namun jika baru kematian suami, Rasulullah SAW menegah para wanita mengikut jenazah ke kuburan dan memadai mereka hanya menunggu di rumah bagi menghormati hukum ihdad (berkabung) dalam tempoh idahnya. Foto CANVA

“Perkuburan adalah tempat untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dengan selalu ingat akan kematian sentiasa menghampiri kita.

“Ia juga menghindarkan diri daripada cintakan dunia yang berlebihan. Kubur juga akan menjadikan kita sedar bahawa kita makhluk yang lemah. Mohon segala hajat kepada MAHA PENCIPTA bukan kepada makhluk yang akhirnya tetap akan ke tanah jua,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!