Tak lena tidur, rumah retak akibat hakisan

Benteng pasir yang dibina di belakang kediaman penduduk sejak 13 tahun lalu. Gambar kanan: Sariah menunjukkan dinding rumahnya yang retak akibat pergerakan tanah.
Benteng pasir yang dibina di belakang kediaman penduduk sejak 13 tahun lalu. Gambar kanan: Sariah menunjukkan dinding rumahnya yang retak akibat pergerakan tanah.
A
A
A

KOTA BHARU - Enam sekeluarga di Kampung Jejulok Banggu di sini tidak lena tidur berikutan kediaman mereka diancam runtuh berikutan hakisan yang berlaku di kawasan belakang rumah yang didiami.

Mereka mendakwa, hakisan semakin serius sejak beberapa bulan lalu mengakibatkan benteng pasir yang dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak 13 tahun lalu turut terjejas.

Pemilik kediaman, Azrina Jaafar, 49, berkata, lebih membimbangkan berlaku pergerakan tanah pada waktu malam dan struktur rumah bergerak.

Azrina menunjukkan keadaan struktur rumahnya selepas berlaku pergerakan tanah akibat hakisan.
Azrina menunjukkan keadaan struktur rumahnya selepas berlaku pergerakan tanah akibat hakisan.

"Ke mana kami mahu lari? Di mana kami mahu tinggal. Ini sahaja rumah kami," katanya ketika ditemui di kawasan berkenaan pada Jumaat.

Azrina juga bimbang benteng pasir yang dipasang kira-kira dua meter dari sungai itu runtuh mungkin menyebabkan kediaman mereka ranap.

Katanya lagi, buat masa ini mereka hanya mampu bertahan dan memohon pihak berkaitan bertindak membina benteng yang lebih kukuh.

"Kami sangat berharap tindakan segera dilakukan sebelum musim hujan yang mungkin akan memberi kesan lebih buruk kepada pemilik rumah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Warga emas, Sariah Ismail, 68, pula mendakwa sebelum ini hanya tiga rumah yang terjejas tetapi hakisan teruk turut memberi kesan kepada tiga lagi kediaman berdekatan.

Sariah yang tinggal lapan beranak termasuk suami berusia 78 tahun dan tiga cucu berusia antara tiga hingga tujuh tahun mengakui tidak boleh melelapkan mata selepas berlaku pergerakan struktur rumahnya.

"Setiap hari kami hanya mampu berdoa dengan harapan tapak kediaman ini masih kukuh kerana buntu memikirkan tiada wang untuk berpindah.

"Inilah rumah saya sejak sekian lama dan tapak rumah ini merupakan pusaka turun-temurun kami," katanya.

Sariah memberitahu, ruang dapur rumahnya juga dirasakan sudah tidak selamat kerana dinding bata yang menjadi penyambung dengan ruang tamu sudah retak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!