[VIDEO] Proses lanjutan reman ibu bapa Zayn Rayyan bertukar kecoh

A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Suasana di luar Mahkamah Majistret Petaling Jaya kecoh apabila ahli keluarga kepada ibu bapa Zayn Rayyan menjerit dan melaungkan kata-kata semangat kepada pasangan itu antaranya "Jangan jadi kambing hitam, Isma Zain be strong, ini semua fitnah”.

Datuk kanak-kanak itu, Zahari Mohd Reba turut sama hadir bersama ahli keluarganya berkumpul di luar mahkamah dan memegang kain rentang bertulis ‘Keadilan untuk Zaim, Isma serta keadilan buat Zayn Rayyan’.

Suasana di luar Mahkamah Majistret Petaling Jaya kecoh apabila ahli keluarga kepada ibu bapa Zayn Rayyan memegang kain rentang sambil melaungkan kata-kata semangat kepada pasangan itu.
Suasana di luar Mahkamah Majistret Petaling Jaya kecoh apabila ahli keluarga kepada ibu bapa Zayn Rayyan memegang kain rentang sambil melaungkan kata-kata semangat kepada pasangan itu.

Sementara itu, Zahari menzahirkan sokongan kepada anak dan menantunya selepas tempoh reman disambung selama enam hari sehingga Rabu depan.

“Semasa siasatan dan pencarian dilakukan, dia (bapa Zayn Rayyan) berada bersama saya, jadi kami mahukan keadilan buat cucu, anak dan menantu saya,” katanya.

Zahari
Zahari

Ditanya mengenai ungkapan anak lelakinya yang mendakwa dianiaya, Zahari berkata, dia tidak boleh membuat sebarang kenyataan namun percaya pihak polis akan menyiasat perkara itu dengan telus.

Sementara itu, ibu kepada suspek lelaki yang enggan dikenali berkata, ahli keluarganya berharap siasatan polis terhadap anak dan menantunya dijalankan dengan saksama.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang kita mahu fokus keadilan untuk Zayn Rayyan, mereka memang ibu bapa yang sangat baik,” katanya.

Terdahulu, pasangan itu yang memakai baju lokap berwarna ungu, dibawa ke mahkamah pada jam 9.30 pagi, selepas tempoh reman tujuh hari bermula 1 Jun lalu, tamat pada Jumaat.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!