Laksana tugas bertunjangkan integriti, tatakelola baik - Ramli

Ramli (depan, tengah) bergambar kenangan bersama 247 anggota pelatih sempena majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Sarjan Percubaan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur pada Jumaat. - FOTO: SINAR HARIAN/HISYAMUDDIN AYUB.
Ramli (depan, tengah) bergambar kenangan bersama 247 anggota pelatih sempena majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Sarjan Percubaan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur pada Jumaat. - FOTO: SINAR HARIAN/HISYAMUDDIN AYUB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan untuk terus berkhidmat cemerlang bertunjangkan integriti dan tata kelola baik bagi mengelak daripada terjebak dengan sebarang salah laku.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, perkara tersebut perlu dijadikan landasan perkhidmatan bagi setiap warga PDRM.

Menurutnya, integriti serta tata kelola baik menuntut amalan dan pembudayaan dalam setiap tindakan atau sudut kehidupan.

Tegas beliau, elemen tersebut harus dijadikan benteng utama bagi mengekang keterlibatan warga polis dengan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Saya yakin dan percaya para pelatih sekalian telah sedia maklum dengan tuntutan kesetiaan terhadap pasukan dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

"Setiap langkah dan tindakan perlu seiring dengan misi serta visi pasukan," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas tamat majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Sarjan Percubaan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pengurusan (Dasar Sumber Manusia), Datuk Mohd Roze Shaari dan Komandan Pulapol, Muhammad Idzam Jaafar.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ramli berkata, semua warga PDRM perlu mendukung dasar kerajaan dalam mewujudkan kesejahteraan masyarakat.

Jelasnya, seluruh warga pasukan juga digesa mengetepikan kepentingan peribadi, sebaliknya memusatkan fokus dan matlamat selaras dasar kerajaan demi kepentingan semua.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan pelatih baharu agar memastikan elemen integriti serta kepentingan awam menjadi keutamaan dalam setiap penugasan dan kehidupan.

Tambah beliau lagi, setiap sarjan pelatih perlu menunjukkan kepatuhan terhadap elemen 'chain of command', hormat menghormati sesama rakan sepasukan khususnya mereka yang lebih senior.

Tegas beliau, perkara seumpama itu harus terus dijadikan amalan dalam diri setiap anggota.

"Patuhi setiap peraturan dan disiplin yang ditetapkan, selain sentiasa berikan komitmen yang sepenuhnya kepada masyarakat.

"Ingatlah kerjaya kepolisan ini merupakan salah satu medium jihad fisabilillah dalam mempertahankan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

"Ketelusan dalam menjalankan tugas akan turut dihisab dan dijanjikan keberkatan dalam kehidupan serta balasan syurga di akhirat kelak," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!