Amal soleh peneman di alam kubur

ALAM KUBUR merupakan suatu tempat persinggahan manusia selepas meninggal dunia sebelum dibangkitkan semula di Padang Mahsyar. Foto 123RF
ALAM KUBUR merupakan suatu tempat persinggahan manusia selepas meninggal dunia sebelum dibangkitkan semula di Padang Mahsyar. Foto 123RF
A
A
A

“SETIAP yang bernyawa pasti akan merasai mati."

Firman ALLAH SWT dalam ayat ke-185 Surah Ali Imran tersebut menerangkan kepada kita bahawa semua makhluk yang bernyawa termasuk manusia pasti akan meninggal dunia.

Bagaimanapun, timbul pelbagai persoalan ke manakah kita selepas disemadikan? Apakah benar ada azab kubur dan apakah ada peneman kita di dalam kubur kelak?

Merungkai jawapan tersebut, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Pendidikan Islam, Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Saratok, Ustaz Shahrilnaim Satar menjelaskan, alam kubur merupakan suatu tempat persinggahan manusia selepas meninggal dunia.

USTAZ SHAHRILNAIM
USTAZ SHAHRILNAIM

“Alam kubur juga disebut sebagai alam barzakh. Ia merupakan suatu tempat di antara dunia dan akhirat.

“Manusia akan dibangkitkan dari alam kubur dan dihimpunkan di Padang Mahsyar apabila berlakunya hari kiamat iaitu seluruh isi bumi ini dihancurkan yang juga dinamakan sebagai hari kebangkitan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, katanya, sebagai umat Islam adalah wajib untuk beriman dengan hari kiamat dan semua perkara berkaitan hari akhirat itu termasuklah alam kubur.

“Alam kubur bukanlah suatu tempat rekaan sebagaimana yang didakwa sesetengah golongan kerana penegasan ALLAH SWT terhadap kehidupan selepas mati ada diceritakan dalam al-Quran seperti nikmat kubur dan azabnya,” hurainya lagi.

Azab kubur, suruhan berdoa dijauhkan daripadanya

Menjawab persoalan mengenai alam kubur, pendakwah itu berkata, nikmat dan azab kubur merupakan perkara yang berbeza namun kedua-duanya berkaitan dengan alam kubur.

“Azab kubur adalah seksaan atau hukuman kepada mereka yang ingkar perintah ALLAH SWT semasa hayatnya di dunia seperti dijelaskan ALLAH dalam ayat ke-45 dan ke-46 Surah Ghafir:

“Maka ALLAH memeliharanya daripada kejahatan tipu daya mereka, sedangkan Firaun berserta kaumnya dikepung oleh azab yang teruk. Kepada mereka diperlihatkan neraka pada pagi dan petang serta pada hari terjadinya hari kiamat. (Lalu malaikat diperintahkan): “Masukkanlah Firaun dan para pengikutnya ke dalam azab yang sangat keras.”

“Ayat ini menerangkan kepada kita mengenai azab sebelum hari kiamat. Imam Al-Qurtubi, Mujahid, Ikrimah, Muqatil dan Muhammad bin Ka’ab kesemua mereka mengatakan ayat ini membuktikan wujudnya azab kubur,” jelasnya.

Justeru, Nabi Muhammad SAW menyuruh umatnya berdoa agar dijauhi daripada azab kubur kerana seksaannya yang amat dahsyat.

“Apabila selamat daripada ujian azab kubur, maka akan mudahlah ujian yang akan dilaluinya selepas itu,” katanya.

Amal soleh peneman dalam kubur

Ditanya mengenai amalan yang boleh menjadi peneman dan mencerahkan kubur, Shahrilnaim menjawab, antara amalannya ialah meyakini dan mengamalkan Rukun Iman dan Rukun Islam sepenuhnya.

“Amalan wajib menjadi tuntutan utama patut dilaksanakan semasa hayat kita di samping amalan-amalan sunat yang lain.

“Maka ketahuilah bahawa segala amalan soleh yang kita lakukan di dunia akan menjadi syafaat (penyelamat) kepada pelakunya di akhirat kelak seperti amalan membaca al-Quran,” jelasnya.

Menurutnya, Abu Umamah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya.” (Hadis Riwayat Muslim)

BERDOALAH kesejahteraan kepada ahli kubur dan tidak lupa berdoa agar kita semua dijauhkan daripada azab kubur. Foto CANVA
BERDOALAH kesejahteraan kepada ahli kubur dan tidak lupa berdoa agar kita semua dijauhkan daripada azab kubur. Foto CANVA

Katanya, amalan-amalan lain yang perlu dijaga adalah seperti berbuat baik kepada ibu bapa dan menjaga silaturahim.

“Selain amalan wajib, perbanyakkan amalan-amalan sunat agar dapat menampung kekurangan ibadah wajib seperti bersedekah kerana ganjaran yang besar kepada pelakunya,” jelasnya.

Menjawab persoalan ke mana selepas alam kubur, pendakwah itu menyatakan, manusia akan dibangkitkan semula selepas berlakunya hari kiamat dan dihimpunkan di Padang Mahsyar.

“Tempoh dan ujian yang bakal dihadapi di Padang Mahsyar adalah lebih dahsyat berbanding di alam kubur, bergantung kepada amalan yang dikerjakan masing-masing,” hurainya.

Sebagai umat Islam, Shahrilnaim menasihatkan agar kita semua berpegang dengan teguh dengan dua perkara yang ditinggalkan Nabi Muhammad SAW iaitu kitab ALLAH (al-Quran) dan sunnah (hadis).

ANEKDOT

Bentuk-bentuk nikmat kubur

Nikmat di dalam kubur adalah termasuk dalam hakikat-hakikat ghaib yang sabit buktinya melalui perkhabaran yang yakin lagi mutawatir. Antaranya:

1. Kuburnya diterangi cahaya dan dilapangkan.

Dalam sebuah hadis yang panjang Rasulullah SAW memberitahu bahawa penghuni kubur akan didatangi dua malaikat hitam kebiru-biruan iaitu Mungkar dan Nakir.

Selepas penghuni kubur berjaya menjawab soalan daripada kedua-dua malaikat itu, dilapangkan kuburnya sepanjang 70 hasta didarab 70 hasta dan diberikan cahaya di dalamnya seperti diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan Ibnu Hibban.

KUBUR akan menjadi salah satu taman syurga sekiranya kita beramal soleh ketika hidup di dunia. Gambar hiasan/Foto CANVA
KUBUR akan menjadi salah satu taman syurga sekiranya kita beramal soleh ketika hidup di dunia. Gambar hiasan/Foto CANVA

2. Diperlihatkan kepadanya kedudukan tempatnya di syurga di dalam kubur tersebut setiap pagi dan petang.

"Setiap seorang daripada kamu, apabila mati akan diperlihatkan kepadanya kedudukan tempatnya setiap pagi dan petang. Jika dia daripada ahli syurga maka (diperlihatkan seperti) ahli syurga dan jika dia ahli neraka maka (diperlihatkan seperti) ahli neraka. Dikatakan kepadanya: “Inilah tempatmu sehingga dibangkitkan semula pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

3. Memperoleh wangian dan haruman daripada syurga serta kuburnya diluaskan sejauh mata memandang.

Dalam sebuah hadis yang panjang, Rasulullah SAW bercerita mengenai soalan kubur dan jika penghuni kubur dapat menjawab soalan yang dikemukakan malaikat, dia mendapat wangian dan harumnya angin syurga serta kuburnya diluaskan sejauh mata memandang seperti hadis diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ahmad.

*Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!