[VIDEO] Penyasaran subsidi diesel: KPDN garis lima pendekatan baharu Ops Kesan 2.0

A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggariskan lima pendekatan baharu menerusi Ops Kesan 2.0 yang berkuat kuasa pada Sabtu sebagai persiapan bagi menghadapi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia melibatkan proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan yang telah bermula pada 2 Mei lalu dan penubuhan pasukan tugas khas (task force) di peringkat ibu pejabat bagi menyelaras serta menyelesaikan isu-isu yang timbul daripada pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali ketika sidang media pada sesi libat urus bersama para pengusaha stesen minyak di negeri Kelantan pada Jumaat. Foto Bernama
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali ketika sidang media pada sesi libat urus bersama para pengusaha stesen minyak di negeri Kelantan pada Jumaat. Foto Bernama

"Selain itu, kami juga akan melanjutkan waktu pengoperasian Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre) bermula dari jam 9 pagi hingga 10 malam setiap hari.

"Ia bagi memastikan siasatan segera dapat dilakukan ke atas aduan yang diterima berhubung pelaksanaan SKDS (Sistem Kawalan Diesel Subsidi) dan aduan kenaikan harga dan perkhidmatan," katanya semasa sidang akhbar pada Jumaat.

Sebelum itu beliau merasmikan Program Libat Urus Bersama Pengusaha Stesen Minyak Negeri Kelantan di sini.

Artikel Berkaitan:

Armizan (tengah) bersama pengusaha stesen minyak yang hadir semasa pelancaran Program Libat Urus Bersama Pengusaha Stesen Minyak Negeri Kelantan di Kota Bharu.
Armizan (tengah) bersama pengusaha stesen minyak yang hadir semasa pelancaran Program Libat Urus Bersama Pengusaha Stesen Minyak Negeri Kelantan di Kota Bharu.

Menurut Armizan, KPDN juga menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan aduan-aduan berkaitan dengan caj, harga dan bekalan termasuk tindakan susulan penguatkuasaan perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam dari masa aduan diterima.

Beliau memberitahu, talian aduan khas 012-6654292 diaktifkan untuk membolehkan orang ramai untuk mengemukakan sebarang maklumat, aduan berkaitan pelaksanaan SKDS serta aduan caj, harga dan bekalan.

Ujarnya, KPDN akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti pencatutan pasca pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

"Mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga dan caj perkhidmatan akan dikenakan tindakan yang tegas terutamanya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

"Di mana boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan/syarikat manakala sehingga RM100,000 bagi individu atau dipenjarakan selama tempo tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Menurut beliau, Ops Kesan 2.0 adalah kesinambungan kepada Ops Kesan 1.0 yang telah dilaksanakan bagi memantau kesan pelaksanaan kenaikan cukai perkhidmatan pada 1 Mac lalu.

Ujarnya, fokus penguatkuasaan di bawah ops ini adalah untuk memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan dengan mengguna pakai alasan pelarasan harga runcit diesel di stesen-stesen minyak.

"KPDN akan membuat pemantauan dan penguatkuasaan sepenuhnya berpandukan kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!