Penyasaran subsidi diesel untuk petani: KPDN serah kepada KPKM

Armizan semasa sidang media selepas merasmikan Program Libat Urus Bersama Pengusaha Stesen Minyak Seluruh Kelantan, di sini pada Jumaat.
Armizan semasa sidang media selepas merasmikan Program Libat Urus Bersama Pengusaha Stesen Minyak Seluruh Kelantan, di sini pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerahkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhubung penyasaran subsidi diesel melibatkan golongan petani.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebelum ini sudah wujud mekanisme melibatkan KPDN dan KPKM dengan kementerian terlibat sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.

"Sekiranya terdapat rayuan memang ada jawatankuasa khas iaitu platform yang disediakan untuk mengemukakan perkara terbabit.

"KPKM perlu meneliti asasnya dan membawa syor kepada jawatankuasa itu untuk diputuskan secara bersama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengulas keluhan pengusaha sayur-sayuran di Tanah Tinggi Cameron Highlands kepada jawatankuasa rayuan berkait pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Libat Urus Bersama Pengusaha Stesen Minyak Seluruh Kelantan, di sini pada Jumaat.

Antara pengusaha yang hadir pada Program Libat Urus Bersama Pengusaha Stesen Minyak Seluruh Kelantan di Kota Bharu pada Jumaat.
Antara pengusaha yang hadir pada Program Libat Urus Bersama Pengusaha Stesen Minyak Seluruh Kelantan di Kota Bharu pada Jumaat.

Armizan memberitahu, KPDN mengambil maklum keluhan golongan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, golongan petani tidak perlu khuatir kerana mereka akan turut menikmati manfaat itu menerusi Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) di bawah Budi Madani Agrikomoditi.

"Mereka boleh memohon untuk mendapatkan bantuan subsidi secara tunai. Semalam Kementerian Kewangan telah mengumumkan bahawa mereka yang telah mohon awal boleh mendapatkan bantuan tersebut bermula Isnin ini.

"Kepada mereka yang belum membuat permohonan, boleh berbuat demikian menerusi Budi Madani Agrikomoditi," katanya.

Armizan (tiga dari kiri) semasa merasmikan Ops Kesan 2.0 di Kota Bharu pada Jumaat.
Armizan (tiga dari kiri) semasa merasmikan Ops Kesan 2.0 di Kota Bharu pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan petani Cameron Highlands menggesa Putrajaya mengkaji semula kriteria subsidi diesel.

Mereka bimbang program rasionalisasi subsidi diesel (DSR) akan membebankan petani kerana inisiatif kerajaan itu nampaknya hanya menguntungkan pekebun kecil komoditi berdaftar.

Mereka bagaimanapun berkata, tidak semua petani kecil akan mendapat manfaat daripada program itu kerana mereka perlu mempunyai syarikat berdaftar untuk melayakkan mereka mendapat subsidi, yang kebanyakannya tidak ada.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!