Imigresen serbu rumah kongsi cekup 29 warga asing
IPOH - Jabatan Imigresen Negeri Perak menahan 29 warga asing dan seorang warga tempatan dalam serbuan dua lokasi melibatkan rumah kongsi dan bengkel kenderaan di sekitar Bandar raya Ipoh di sini pada Khamis.
Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, operasi yang turut melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA) itu disertai seramai 56 orang pegawai.
Menurutnya, dalam operasi penguatkuasaan selama kira-kira 16 jam yang bermula jam 10 pagi itu, seramai 100 individu diperiksa.
"Serbuan dibuat berdasarkan aduan dan hasil pemantauan serta risikan yang telah dijalankan oleh Unit Risikan dan Operasi Jabatan Imigresen Negeri Perak di semua premis rumah kongsi dan bengkel kenderaan tersebut.
"Daripada 100 individu yang diperiksa, seramai 29 orang warga asing dan seorang warga tempatan telah ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Meor Hezbullah berkata, antara kesalahan yang dilakukan ialah di bawah Seksyen 6(1)(c) iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah, Seksyen 15(1) (c) iaitu telah tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah yang dikeluarkan serta kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang telah dikeluarkan.
Menurutnya, kesemua mereka yang ditahan adalah terdiri daripada 12 lelaki warga Bangladesh, enam lelaki dan dua perempuan warga Indonesia, lelaki warga Myanmar (9 orang) dan seorang lelaki warga tempatan.
Jelasnya, mereka yang ditahan berusia antara 17 tahun sehingga 53 tahun di tempatkan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
"Jabatan Imigresen Negeri Perak berharap masyarakat dapat membuat laporan atau aduan bagi membantu membanteras kebanjiran PATI (pendatang asing tanpa izin) di negara ini.
"Kita juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan atau individu yang menggaji atau melindungi atau membenarkan PATI berada di dalam premis kediaman atau perniagaan masing-masing tanpa permit yang sah termasuk pendakwaan di mahkamah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!