Temui ajal ketika cuba bantu mangsa kemalangan
KOTA TINGGI - Niat murni seorang pemuda memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan di Kilometer 18.8 Jalan Sungai Rengit- Kota Tinggi, dekat sini bertukar tragedi apabila dia maut dilanggar kenderaan lain.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 5.20 petang Khamis.
Menurut beliau, pada awalnya berlaku kemalangan membabitkan Perodua Axia dipandu lelaki tempatan berumur 33 tahun yang dalam perjalanan dari arah Sungai Rengit ke Kota Tinggi disyaki terbabas sendiri.
"Apabila melihat kemalangan itu, seorang lelaki tempatan yang memandu Toyota Hilux dari arah bertentangan memberhentikan kenderaan dan membantu mangsa.
"Ketika mangsa berusia 35 tahun itu sedang membantu tiba-tiba datang Mitsubishi Triton dipandu lelaki tempatan berumur 27 tahun bersama dua penumpang berumur 26 dan 27 tahun dari arah Sungai Rengit melanggar mangsa yang berada berhampiran dengan Perodua Axia itu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Jelas Husin, pemandu Toyota Hilux mengalami kecederaan di bahagian dalaman badan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi, nakala pemandu serta penumpang Mitsubishi Triton turut mengalami kecederaan di bahagian anggota badan dan menerima rawatan di hospital sama.
“Sementara pemandu Perodua Axia hanya mengalami cedera ringan dan dirawat di hospital swasta di Pasir Gudang,” katanya.
Ujar beliau, punca kemalangan masih dalam siasatan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!