KPDN Johor rampas baja bernilai hampir RM800,000

Sebahagian baja yang dirampas. Foto KPDN Negeri Johor
Sebahagian baja yang dirampas. Foto KPDN Negeri Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Muar, Johor merampas 29,152 unit baja pelbagai jenis tidak berlesen yang dianggarkan bernilai RM772,987 dalam OPS Barang Kawalan di Tangkak, pada Khamis.

Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, kesemua berkenaan dirampas hasil dua pemeriksaan serentak di dua lokasi berbeza sekitar Kawasan Perindustrian Tangkak.

Katanya, pemeriksaan bertujuan untuk mengesan salah laku terhadap barang kawalan berjadual iaitu baja yang dikawal selia oleh KPDN dan hasil risikan yang dilakukan selama sebulan setengah.

"Di lokasi pertama,sebanyak 3,942 unit baja pelbagai jenis telah dirampas yang dianggarkan bernilai RM300,060 di sebuah gudang yang disyaki menjalankan operasi perniagaan borong baja tanpa memiliki lesen barang kawalan berjadual.

"Di lokasi kedua pula, sepasukan Pegawai dan Anggota Penguatkuasa KPDN Cawangan Muar juga telah merampas sebanyak 25,210 unit baja pelbagai jenis dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah sehingga RM472,927

"Dalam pemeriksaan ini, pihak KPDN Cawangan Muar turut menahan dua lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 60-an iaitu pemilik gudang dan kilang berkenaan bagi membantu siasatan," katanya.

Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan pelanggaran Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.

Jika disabit kesalahan denda sehingga RM1 juta atau penjara selama 3 tahun atau kedu-duanya sekali bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!