Kesalahan halangan lalu lintas rekod saman tertinggi
KUALA LUMPUR - Mahu meletakkan kenderaan sebentar selain mendakwa tiada parkir disediakan.
Itu antara alasan diberikan pengguna yang melakukan kesalahan menghalang lalu lintas yang merekodkan jumlah saman tertinggi sepanjang tiga hari pelaksanaan Operasi Hormat Undang-Undang sejak 4 Jun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, tindakan itu diambil hasil pelaksanaan 63 operasi, dengan 9,427 saman dikeluarkan sepanjang operasi terbabit.
"Kesalahan halangan lalu lintas mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 7,123 saman selain meletakkan kenderaan di laluan pejalan kaki iaitu sebanyak 699 saman dan tiada lesen memandu (236).
"Turut direkodkan adalah kesalahan cukai jalan tamat tempoh (155), nombor kenderaan tidak mengikut spesifikasi (101), tiada cermin sisi (81), penggunaan alat telekomunikasi (63), tidak menampal pelekat P (4), tidak mengikat kemas topi keledar (39) dan beberapa kesalahan lain," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Sarifudin berkata, Operasi Hormat Undang-Undang itu turut melibatkan pelaksanaan Op Telefon Bimbit, Op Motosikal, Op Had Laju, Op Perdagangan dan Op Halangan.
Bagaimanapun jelasnya, tiada sebarang tindakan sitaan kenderaan dilakukan dalam kesemua operasi tersebut dan hanya 25 tangkapan dibuat ke atas pesalah jalan raya.
Pada 31 Mei lalu, media melaporkan Polis Kuala Lumpur akan terus melaksanakan Operasi Hormat Undang-Undang (Op HUU) sehingga 15 Jun ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, operasi itu akan menggunakan konsep sama iaitu memberi penekanan utama membabitkan kesalahan halangan lalu lintas, garisan putih, nombor pendaftaran, motosikal, didik, parkir haram, lampu merah dan telefon bimbit.
Sebelum ini, Op HUU dijalankan dua fasa dengan Fasa 1 dilaksanakan pada 3 hingga 31 Julai 2023 manakala Fasa 2 pada 15 sehingga 29 September 2023.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!