[VIDEO] Dua warga Thailand didenda miliki petrol tanpa lesen
KUALA KANGSAR - Dua lelaki warga Thailand masing-masing didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Jumaat selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan memiliki minyak petrol tanpa lesen, April lalu.
Suphachai Awaekuechi, 41, dan Sayadee A-Wang, 30, yang bekerja sebagai pemandu teksi di sempadan dijatuhi hukuman itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Pada masa sama, mahkamah turut memerintahkan kenderaan milik tertuduh dilucuthakkan dan duit jualan minyak diserahkan kepada kerajaan.
Terdahulu, Suphachai didakwa memiliki 120 liter minyak petrol dalam 10 tong dan 50 liter minyak dalam tangki utama kenderaan nombor pendaftaran Thailand AB 4142 PTL yang menimbulkan syak dengan menjual secara runcit atau borong tanpa lesen.
Sayadee pula didakwa memiliki 92 liter minyak petrol dalam tangki utama kenderaan nombor pendaftaran Thailand AC 4615 BTG yang menimbulkan syak bagi tujuan sama.
Kedua-dua perbuatan yang melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah dilakukan di Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu sekitar jam 7 pagi pada 23 April lalu.
Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara selama tempoh tiga tahun atau kedua-duanya.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman denda kerana perlu menanggung isteri dan anak.
Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Hasyutantee Khalil bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dan isu yang menyebabkan penyelewengan minyak petrol bersubsidi kepada rakyat negara ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!