Enam pingat emas tingkatkan imej industri hartanah negara - Kor Ming

Kor Ming menyampaikan ucapan pada Majlis Penghargaan Kecemerlangan Pemaju Hartanah sempena 'FIABCI World Prix d'Excellence Awards Gold Winners' hari ini. - Foto: Bernama
Kor Ming menyampaikan ucapan pada Majlis Penghargaan Kecemerlangan Pemaju Hartanah sempena 'FIABCI World Prix d'Excellence Awards Gold Winners' hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Enam projek Malaysia yang dinobatkan sebagai pemenang emas di The FIABCI World Prix D'excellence Awards 2024 sebagai pengiktirafan dalam meningkatkan taraf dan imej industri hartanah di negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, ia menunjukkan tahap kebolehan, kemampuan dan komitmen dalam penyediaan rumah yang lebih mampan serta berkualiti tinggi kepada rakyat.

"Ia juga terbukti taraf pemaju tempatan mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pemaju yang terkemuka di seluruh dunia," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Penghargaan Kecemerlangan Pemaju Hartanah di sini pada Jumaat.

Menurutnya, anugerah hartanah FIABCI itu boleh diibaratkan sebagai Anugerah Oscar bagi industri hartanah berdasarkan lima kriteria utama antaranya seni bina dan nilai estetika terbaik, inovasi dan kualiti dalam pembangunan dan pembinaan, faedah komuniti serta kesan alam sekitar dan kemampanan.

FIABCI yang berlangsung di The Bay, Singapura pada 30 Mei lalu menyaksikan enam projek Malaysia daripada 14 kategori telah dinobatkan emas.

Ia adalah Projek SkyAwani 3 Residences oleh SkyWorld Development Berhad bagi kategori rumah mampu milik; Projek Tamarind Square oleh Tujuan Gemilang Sdn Bhd bagi kategori penggunaan campuran.

Parc3 @ KL South memenangi emas bagi kategori bangunan kediaman tinggi manakala Queens Residences Q1 pula kategori bangunan kediaman sederhana tinggi.

Saujana Duta dan Pavilion Bukit Jalil masing-masing menang pada kategori bangunan kediaman rendah serta peruncitan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kor Ming dalam ucapannya berkata, penawaran rumah yang mudah diakses dan diterima oleh rakyat dari semua kumpulan pendapatan akan meningkatkan taraf hidup komuniti setempat.

"Pemaju hartanah hendaklah melengkapi standard dan amalan terbaik antarabangsa serta pemakaian teknologi canggih dalam sektor pembinaan.

"Pembangunan hartanah yang mencapai standard dan kualiti tertentu akan dapat menarik minat pembeli tempatan mahupun antarabangsa," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!