Azeem Fahmi tidak mahu tertekan buru slot Olimpik Paris 2024
PELARI pecut sensasi negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi tidak mahu tertekan dalam memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirai Julai ini.
Sebaliknya atlet berusia 20 tahun yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu ingin terus fokus bagi mendapatkan semula keseronokan bersaing di pentas antarabangsa.
Pelari kelahiran Teluk Intan, Perak itu berkata, buat masa ini beliau berada pada tahap terbaik selain mahu terus kekal positif dan yakin dirinya mampu terus menyinar pada mana-mana kejohanan yang akan disertainya tahun ini.
"Saya tidak risau tentang Olimpik, kalau ada rezeki, jadi ada. Sekarang, saya hanya mahu fokus pada mendapatkan semula 'keseronokan' bertanding dan menerima diri sendiri," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Muhammad Azeem yang lebih dikenali sebagai Azeem Fahmi merupakan pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) dan telah melakukan catatan terbaiknya musim ini 10.24s ketika beraksi pada Kejohanan Olahraga LSU Invitational di Los Angeles pada 27 April lepas.
Bagaimanapun, catatan tersebut masih jauh jika dibandingkan dengan kelayakan ke Paris yang memerlukan beliau mencatat 10s untuk layak secara merit dalam acara tumpuan itu.
Jawatankuasa pemilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) perlu menyerahkan nama sama ada Azeem Fahmi atau Shereen Samson Vallabouy kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum 8 Julai ini, sekiranya kedua-dua atlet itu tidak dapat melayakkan diri secara merit.
Azeem Fahmi bakal berdepan beberapa kejohanan berturut-turut bermula dengan Terbuka Malaysia pada 14-16 Jun ini diikuti Terbuka Kazakhstan (23-24 Jun) dan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia pada 2-5 Julai.
"Jadi dengan kejohanan berturut-turut ini, saya akan terus berada di Malaysia selepas Terbuka Kazakhstan, dan selepas AUG 2024, saya akan jalani kem latihan di Jerman bersama pasukan saya,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!