Remaja 17 tahun baling pasu di balai polis mengaku khianat
PETALING JAYA - Dua remaja 17 tahun yang ditahan kerana membaling pasu bunga ke arah pagar Balai Polis Serdang, di sini, minggu lalu, mengaku bersalah atas satu pertuduhan khianat, di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
Pesalah juvana berkenaan membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Farah Azura Mohd Saad.
Prosiding yang secara tertutup, kerana dua pesalah ini merupakan pesalah bawah umur.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 8 Ogos depan untuk jatuh hukum selepas memperoleh laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa melakukan khianat dengan merosakkan kereta jenis Proton Saga, milik seorang lelaki berusia 18 tahun, hingga menyebabkan kerugian RM500, di tepi jalan hadapan Balai Polis Serdang, di sini, pada jam 6.30 pagi, 2 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur'ain Madihah Zulkifli manakala dua pesalah juvana ini diwakili peguam, Muhammad Amirul Mukminin Mohd Sufian.
Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kedua-dua suspek itu ditahan di Taman Serdang Jaya, Seri Kembangan pada jam 4 petang, Selasa lalu.
Menurutnya, dengan dipandu arah oleh kedua-dua suspek, polis merampas serpihan batu atau pasu yang digunakan dalam tiga kejadian khianat.
Katanya, ia termasuk kes khianat terhadap pagar Balai Polis Serdang yang dipercayai dilakukan oleh dua suspek terbabit pada hari sama.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!