Dua lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia

Syed Saleh
Syed Saleh
A
A
A

MAKKAH - [DIKEMAS KINI] Dua kematian terbaharu melibatkan jemaah haji Malaysia yang berada di Tanah Suci berlaku pada 3 dan 4 Jun lalu menjadikan jumlah keseluruhan adalah seramai empat orang.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kematian ketiga melibatkan seorang jemaah lelaki, Ghazali Ahmad yang berusia 71 tahun.

Menurutnya, punca kematian adalah disebabkan kegagalan buah pinggang dan pembuluh darah di perut tersumbat.

Ujar Syed Saleh, kematian keempat juga melibatkan jemaah wanita, Noormadiah Mat Ali, 53, yang meninggal dunia akibat kegagalan fungsi organ disebabkan jangkitan kuman di paru-paru.

Allahyarham Ghazali yang berasal dari Kedah dikebumikan di Tanah Perkuburan Syuhada Al-Haram, manakala Noormadiah yang berasal dari Terengganu dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraiee.

“TH mengucapkan takziah kepada waris jemaah dan kami mendoakan agar segala amal ibadatnya diterima ALLAH SWT.



"TH akan menguruskan badal haji bagi kesemua empat jemaah haji yang meninggal dunia dan kesemuanya adalah kali pertama mengerjakan ibadah haji.

“Segala pembiayaan badal haji ini akan ditanggung oleh Tabung Kebajikan Jemaah Haji Malaysia yang diuruskan oleh TH,” katanya dalam satu sidang media, pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kedua-dua jemaah haji ini telah meninggal dunia di Hospital Arab Saudi.

Sementara itu, beliau turut memberitahu jumlah keseluruhan jemaah yang sedang mendapatkan rawatan adalah 52 orang iaitu 43 jemaah di Pusat Rawatan TH dan sembilan di Hospital Arab Saudi.

Syed Saleh berkata, hampir kesemua jemaah haji Malaysia yang sedang dirawat berada dalam keadaan yang stabil.

“Jemaah yang mendapat rawatan ini disebabkan masalah pernafasan seperti jangkitan kuman di paru-paru dan lain-lain penyakit seperti masalah jantung, gangguan emosi (psikiatri) dan sakit otot dan sendi,” katanya.

Beliau turut menasihati jemaah haji Malaysia agar tidak terlalu terdedah kepada cuaca panas kerana cuaca sepanjang musim haji boleh mencecah sehingga 45 darjah Celsius.

“Para jemaah haji diingatkan untuk hadkan masa berada di kawasan panas, kalau boleh kita cuba untuk beribadat di dalam bilik, surau atau masjid dan jangan terdedah kepada cuaca panas kerana khuatir kesihatan kita terganggu apabila berangkat ke Arafah.

“Cuaca sepanjang operasi Masyair nanti dilaporkan sangat panas dan boleh mencecah hingga ke 50 darjah selsius dan para jemaah haji dinasihatkan untuk minum air yang mencukupi agar kekal sihat dan untuk mengelakkan berlaku strok haba,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!