Malaysia-China lanjut kerjasama banteras jenayah rentas sempadan

Saifuddin Nasution dan Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong mempengerusi secara bersama Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Malaysia - Republik Rakyat China Kali Kelima Mengenai Pembanterasan JWG Ke-5.
Saifuddin Nasution dan Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong mempengerusi secara bersama Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Malaysia - Republik Rakyat China Kali Kelima Mengenai Pembanterasan JWG Ke-5.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia dan China memeterai pelanjutan perjanjian bagi kerjasama membanteras jenayah rentas sempadan antara kedua-dua negara berkuat kuasa sehingga 2034.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perkara tersebut diputuskan menerusi Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Malaysia - Republik Rakyat China Kali Kelima Mengenai Pembanterasan Jenayah Rentas Sempadan (JWG Ke-5), di Beijing pada 6 Jun 2024.

Katanya, perjanjian itu merupakan dokumen induk yang menyenaraikan lebih 15 bidang kerjasama antaranya pencegahan aktiviti keganasan, perjudian haram, jenayah siber, penyeludupan manusia dan bahan terlarang serta jenayah ke atas alam sekitar.

"Hasil daripada mesyuarat itu, Malaysia dan China mencapai kesepakatan untuk segera memuktamadkan beberapa dokumen perjanjian dan kerjasama baharu antara kedua-dua negara seperti dalam perihal keimigresenan serta ekstradisi.

"Selain itu, kedua-dua negara turut berkomitmen untuk menerokai dan menerajui kerjasama ASEAN China Gulf Cooperation Council (GCC) dalam bidang keselamatan, ekonomi dan sosial sesuai dengan tiga tonggak utama ASEAN

"Malaysia dan China juga menyatakan persefahaman untuk mendalami secara saintifik cadangan Kerangka Keselamatan Nasional yang diunjurkan memberi kelebihan bukan hanya kepada kedua-dua negara malah turut memanfaatkan negara serantau dan global," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Saifuddin Nasution dan Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong mempengerusi secara bersama Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Malaysia - Republik Rakyat China Kali Kelima Mengenai Pembanterasan JWG Ke-5.

Tambah Saifuddin Nasution, mesyuarat tahunan itu merupakan manifestasi hubungan akrab Malaysia dengan Republik Rakyat China dalam konteks keselamatan dan ketenteraman awam.

Artikel Berkaitan:

"JWG Ke-5 merupakan mekanisme perbincangan di bawah payungan Perjanjian Bagi Kerjasama Membanteras Jenayah Rentas Sempadan Antara Malaysia Dengan Republik Rakyat China yang ditandatangani pada 2012.

"Keakraban hubungan kedua-dua negara mengaspirasikan hasil mesyuarat yang monumental ke arah memastikan keselamatan dan ketenteraman awam antara kedua-dua negara yang lebih terjamin serta mampu memberikan limpahan kesan positif di peringkat serantau serta dunia," jelasnya.

Menurut beliau, JWG Ke-5 turut memperaku kerjasama erat sedia ada antara agensi penguatkuasaan kedua-dua negara dan berikrar untuk meningkatkannya ke tahap yang lebih intensif selaras dengan status hubungan komprehensif dan strategik Malaysia dan China.

Jelasnya, ia termasuklah perkongsian maklumat, pembangunan kapasiti dan pertukaran penempatan pegawai.

"Pada akhir Mesyuarat JWG Ke-5, kedua-dua Menteri mengulangi komitmen untuk meningkatkan hubungan akrab kedua-dua negara dalam konteks keselamatan dan ketenteraman awam di kedua-dua negara, serantau dan global," katanya.