Empat rakan didakwa rompak berkumpulan, menyamar polis

Empat rakan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumat atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan ke atas seorang lelaki warga Bangladesh, bulan lepas. Foto Bernama
Empat rakan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumat atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan ke atas seorang lelaki warga Bangladesh, bulan lepas. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang lelaki warga Bangladesh, bulan lepas.

M Nanthini, 26, S Lawannia, 28, J Thaneshh, 23, dan M Alagendran, 40, didakwa merompak wang tunai RM400 dan sebuah telefon bimbit milik Ali Sayed dengan kerugian RM600, di ATM RHB Bank di Brickfields di sini pada 9.31 malam, 12 Mei.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, Nanthini, Thaneshh dan Alagendran, juga mengaku tidak bersalah atas dakwaan merompak sekeping kad ATM Bank Hong Leong yang mendatangkan kerugian RM2,000 kepada seorang lagi lelaki warga Bangladesh Nasimul Hasan Naim di Public Bank, Medan Hujan Rahmat, Brickfields di sini pada 11.20 malam, 19 Mei, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Mereka turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyamar sebagai pegawai polis bagi tujuan merompak mangsa sama pada tempat, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Lawannia dan rakannya Nur Hikmah Abu Bakar, 20, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan bersubahat merompak mangsa sama (Nasimul Hasan) pada tempat, masa dan waktu serupa, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman serupa.

Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhidi membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 15 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd Shariff manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!