135 petugas UNRWA terkorban di Gaza
KUALA LUMPUR - Seramai 135 petugas Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) terkorban dalam operasi ketenteraan Israel di Gaza sejak 7 Oktober 2023.
Mereka merupakan sebahagian daripada 188 petugas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang kehilangan nyawa semasa menjalankan tugas tahun lepas.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, beberapa petugas UNRWA terkorban bersama keluarga mereka akibat pengeboman rumah manakala yang lain terkorban semasa bertugas di pejabat dan tempat perlindungan.
"Jumlah ini adalah yang tertinggi dalam satu konflik atau bencana alam sejak penubuhan PBB - realiti yang tidak dapat kita terima.
"Seramai 135 petugas UNRWA yang terkorban di Gaza hidup dan mati sebagai wakil masyarakat antarabangsa di Gaza dan masyarakat itu layak mendapat penjelasan.
"Saya secara peribadi berasa amat sedih kerana di sebalik usaha terbaik kami, kami tidak dapat melindungi petugas kami di Gaza," katanya semasa upacara memperingati petugas PBB yang terkorban semasa menjalankan tugas pada 2023, pada Khamis.
Guterres mengulangi gesaannya "untuk penjelasan penuh bagi setiap kematian ini."
"Kita berhutang ini kepada ahli keluarga dan rakan mereka, kepada rakan sekerja mereka dan kepada dunia.
"Malangnya, kami tidak dapat menghubungi ramai ahli keluarga rakan sekerja UNRWA kami kerana mereka telah terkorban atau terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat operasi ketenteraan Israel. Baki petugas UNRWA yang terkorban dikenang dengan gelaran profesional mereka," tambahnya.
Selaras dengan peraturan institusi, persetujuan ahli keluarga diminta untuk memasukkan nama orang tersayang dalam upacara itu. Namun, bagi UNRWA, hanya 22 keluarga sahaja yang dapat dihubungi.
Antara 1 Jan dan 31 Dis tahun lalu, petugas PBB yang terkorban membabitkan 37 negara, bekerja untuk 18 entiti yang berbeza. Mereka terdiri daripada petugas tentera, polis dan awam.
Guterres berkata, walaupun terdapat perbezaan, mereka yang berkhidmat di bawah bendera PBB berhak mendapat perlindungan.
"Mereka adalah lambang negara-negara bersatu. Mereka adalah pelaksanaan multilateralisme. Dan mereka telah membuat pengorbanan tertinggi untuk tujuan itu. Dalam dunia yang berpecah belah secara politik hari ini, nilai teras PBB adalah lebih penting daripada sebelumnya," katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!