Data pemilik setuju jual tanah Kampong Bharu diperoleh Jun ini
KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyasarkan data maklum balas tawaran pembelian tanah Kampong Bharu dapat dikumpulkan menjelang Jun ini.
Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, data tersebut bagi membantu kerajaan mencari langkah penyelesaian agar hasrat pembangunan Kampong Bharu terlaksana.
"Jun ini kita cuba dapatkan satu keputusan jumlah yang setuju dengan tawaran dan cari penyelesaian bagi yang tak setuju untuk cuba berunding kali terakhir bagi membolehkan pembangunan Kampong Bharu dapat dijayakan.
"Sukar nak laksanakan pembangunan sempurna jika tanah yang diperlukan tidak diperolehi. Jadi kita sasar sebelum Jun ini, semua pemilik dan pewaris tanah telah bertemu secara terus dengan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) untuk sesi penjelasan bagi merungkai sebarang kemusykilan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Sumbangan sempena Tahun Baru Cina bersama komuniti Kuala Lumpur di Pusat Komuniti Sentul Perdana di sini hari ini.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.
Katanya, pertemuan secara terus dengan PKB sebelum ini menerima maklum balas positif dengan 97 peratus dari kelompok sasar tersebut menyuarakan persetujuan.
"Kita dapati setiap kali perjumpaan diadakan, hampir semuanya bersetuju selepas diberikan penerangan melalui sesi soal jawab.
"Sekarang ini banyak desas-desus dan pelbagai teori diberikan, ramai tak setuju sebelum ini kerana maklumat tak lengkap dan tak betul. Sesi pertemuan membantu memberikan penerangan," katanya.
Sebelum ini pemilik dan pewaris tanah di Kampong Bharu ditawarkan harga baru iaitu RM1,000 setiap kaki persegi berbanding RM850 sebelum ini.
Berdasarkan harga baharu itu, RM850 diperoleh secara tunai dan baki RM150 berbentuk pulangan dalam pegangan saham.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!