Rancangan bandar kembar Thailand-Malaysia tunjuk perkembangan positif

Bandar kembar Thailand-Malaysia dijangka memberi manfaat kepada kedua-dua negara dari sudut ekonomi. Gambar kecil: Phumtham Vechayachai dan Wannapong Kocharat
Bandar kembar Thailand-Malaysia dijangka memberi manfaat kepada kedua-dua negara dari sudut ekonomi. Gambar kecil: Phumtham Vechayachai dan Wannapong Kocharat
A
A
A

PERANCANGAN dasar untuk mewujudkan bandar kembar Thailand dengan Malaysia iaitu Wilayah Satun – Perlis, Wilayah Songkhla - Kedah, Wilayah Yala – Perak, Wilayah Pattani-Terengganu dan Wilayah Narathiwat-Kelantan menunjukkan perkembangan positif.

Setiausaha Southern Border Provinces Administration Centre (SBPAC), Pol Lt Kol Wannapong Kocharat berkata, pihaknya bersetuju untuk mengadakan kerjasama dengan Malaysia dan memberikan sokongan dalam pelaksanaan bersama lima visi ke arah merealisasikan perancangan itu.

Wannapong berkata, pertamanya memacu kerjasama perdagangan kedua-dua negara khususnya penjualan hasil tanaman pertanian bagi penduduk di kawasan Wilayah Sempadan Selatan Thai dengan melonggarkan peraturan perdagangan dan pemasaran.

Dengan itu, katanya, hasil dari kedua-dua negara boleh dijual dengan lebih banyak termasuk persediaan untuk menerima hasil pertanian dan ternakan yang akan meningkat dalam kawasan Wilayah Sempadan Selatan Thai pada masa hadapan.

“Keduanya memperluaskan saluran pemasaran produk halal yang dihasilkan oleh pelbagai kelompok masyarakat untuk memberi lebih banyak peluang kepada petani dan usahawan Thailand bagi pemasaran di Malaysia termasuk menganjurkan Karnival Makanan Thailand setiap bulan sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh pihak Malaysia.

“Ketiganya menubuhkan Pusat Penyelarasan Perdagangan Sempadan Thailand - Malaysia di kawasan sempadan bagi memudahkan perdagangan menyeluruh seiring perancangan bandar kembar lima wilayah Thailand dan lima negeri Malaysia,” katanya.

Kata Wannapong, seterusnya ialah pihak pengusaha Thailand berharap supaya kerajaan Malaysia dapat mewujudkan kembali perdagangan sempadan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Wilayah Satun yang terhenti selepas penularan Covid-19 sebelum ini.

“Yang terakhir ialah mewujudkan kumpulan kerjasama antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Perdagangan Thailand bagi merangka kerjasama dan prosedur supaya dapat mencapai hasil yang lebih sempurna secepat mungkin. SBPAC pula dicadangkan menjadi pusat penyelaras bagi kedua-dua buah negara, ” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika memberikan taklimat Perkembangan Pelaksanaan dasar Bandar Kembar, Pelaksanaan Tugas Kastam di Sempadan dan Perkembangan Pembinaan Jambatan Sungai Golok kedua di daerah Golok, di sini pada Rabu.

Taklimat disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri/Menteri Perdagangan Thailand, Phumtham Vechayachai merangkap Pengerusi Jawatankuasa Strategi Pembangunan Wilayah Sempadan Selatan Thai.

Dalam taklimat yang sama, Timbalan Pengarah, Pejabat Pengurusan Projek Lebuhraya Antarabangsa, Dr Anitit Ausudakit telah membentangkan laporan kemajuan pembinaan jambatan kedua melalui Sungai Golok yang akan menghubungkan Wilayah Narathiwat dan Kelantan.

Katanya, jambatan itu akan mempunyai dua lorong kenderaan, lorong motosikal dan pejalan kaki berbumbung.

“Jambatan adalah bentuk Perahu Kolek untuk mencerminkan identiti penduduk tempatan oleh kedua-dua negara yang mempunyai persamaan.

“Kos pembinaan adalah separuhnya daripada Malaysia manakala pihak Thailand memperuntukkan sebanyak 160 juta baht (RM1 bersamaan 7.75 baht), ” katanya.

Anitit berkata, Thailand dan Malaysia telah meluluskan pelan pembinaan sebagai reka bentuk terperinci dan kelulusan bagi projek itu dijangka diperolehi pada Julai 2024 serta Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dijangka siap pada September tahun ini.

Projek pembinaan jambatan itu dijangka mengambil masa selama dua tahun.

Sementara itu, Phumtham pada akhir taklimat berkata, selepas Perdana Menteri Thailand dan Malaysia berbincang, adalah menjadi hasrat kedua-dua negara mencapai persefahaman sama ada mengenai perdagangan dan pelaburan serta pembinaan jambatan mengikut bajet 2025 dan 2026.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!