Blueprint Keterjaminan Makanan UPM diperkenal, pacu pertanian negara
SERDANG -Pelan tindakan dikenali sebagai Blueprint Keterjaminan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan memacu strategi dan inisiatif terkini pertanian selaras perkembangan teknologi, sekali gus membolehkan negara mencapai keterjaminan makanan yang mampan.
Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, pengenalan pelan tindakan itu bakal memperkukuh industri pertanian negara serta memperlihatkan fungsi universiti yang berperanan memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau berkata, Blueprint Keterjaminan Makanan UPM itu boleh dijadikan rujukan bukan sahaja kepada pihak akademik tetapi untuk pelbagai peringkat masyarakat dalam membantu isu keterjaminan makanan.
"Sebuah universiti macam UPM yang ada kepakaran, sayang kalau kita tidak sinergikan usaha kita untuk membantu perkara itu (isu keterjaminan makanan).
"Kita ingin pastikan usaha di universiti dihormati dan diiktiraf membantu negara, membantu dunia dan tamadun manusia, (menerusi pelan tindakan ini) semua menunggu hasil penyelidikan dan insya-Allah, ia boleh dibawa ke peringkat seterusnya bantu masalah negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Blueprint Keterjaminan Makanan UPM oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Pelan tindakan itu menggarap misi untuk memberi sumbangan bermakna kepada isu keterjaminan makanan menerusi kecemerlangan akademik, dampak atau impak signifikan penyelidikan dan inovasi, serta keterlibatan komuniti dan industri.
Sementara itu, Ahmad Farhan berkata, pelan itu turut memberi penekanan terhadap penyediaan bakat baharu selain mengasah bakat sedia ada yang berminat dalam teknologi.
"Kita juga nak mainkan peranan bantu petani contohnya petani yang senior dan tidak biasa dengan teknologi, UPM dan universiti lain boleh membantu.
"Industri yang masih guna kaedah pertanian lama boleh kita bantu tingkat keupayaan mereka,” katanya. sambil menambah mahasiswa UPM diharap menjadi duta dalam bidang pertanian.
Ahmad Farhan berkata, UPM sebagai universiti peneraju keterjaminan makanan negara yang mempunyai reputasi antarabangsa akan melaksanakan pemantauan berterusan supaya pelan tindakan tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Beliau berkata, suatu neksus dikenali sebagai Nexus Keterjaminan Makanan IPT juga akan ditubuhkan dalam kalangan institut pengajian tinggi awam dan swasta bagi memastikan mereka mengguna pakai Blueprint Keterjaminan Makanan UPM.
"Ia satu sinergi yang jarang berlaku, IPTA dan IPTS akan bersatu dlm satu neksus yang akan diketuai oleh UPM. Kita terjemahkan blueprint (tersebut) kepada satu keadaan benar dilaksana,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!